Skip to main content

Bola Sepak

Muller akan tentukan masa depannya hujung musim ini

thomasmuller.jpg
Thomas Muller tidak akan membuat sebarang keputusan mengenai masa depannya bersama Bayern Munich sehingga penghujung musim ini.

Bekas pemain kebangsaan Jeman itu menghabiskan seluruh kariernya di Allianz Arena di mana dia memenangi lapan gelaran Bundesliga, lima kejuaraan DFB-Pokal dan satu medal Liga Juara-Juara Eropah.

Bagaimanapun, Muller pada Oktober lalu mengakui bahawa dia sedang mempertimbangkan keputusan untuk meninggalkan pasukan itu kerana kurang diturunkan oleh bekas pengurus, Niko Kovac.

Dengan Hansi Flick mengambil alih pasukan untuk sekurang-kurangnya hingga penghujung musim ini, situasi itu kembali berubah tetapi terdapat khabar angin mendakwa Muller sudah bersedia untuk menghadapi cabaran baru.

Namun, dia sendiri tidak mahu terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan.

Bercakap kepada Sport1, dia berkata: "Fokus saya eksklusif untuk kejayaan musim ini.

"Apa yang akan berlaku pada musim panas ini, saya akan bercakap kepada kelab untuk mempertimbangkan pilihan saya.

"Selepas itu, kita akan melihat arah mana yang ia akan pergi," katanya.

Ia menimbulkan persoalan sama ada Muller akan menamatkan spekulasi itu dengan menandatangani perjanjian baru memandangkan kontraknya akan tamat pada 2021.

Dia menambah: "Dengan keadaan seperti itu, setiap pihak perlu mempertimbangkan setiap hujah.

"Ayuh lihat sama ada kami dapat mewujudkan persefahaman itu atau tidak.

"Anda hanya perlu membandingkan keinginan setiap pihak," tambahnya.

Bayern kini berada di tangga ketiga Bundesliga dengan empat mata di belakang pendahulu, RB Leipzig, selepas 17 perlawanan.



Editor: Muzaffar Musa

Advertisement

Must Watch Video