Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shariman beranggapan selepas tamat Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 14 Disember adalah waktu paling tepat untuk pihaknya duduk semeja bersama Persatuan Bolasepak Cerebral Palsy (CP) Malaysia (CPFAMY).
Perkara itu mahu diselesaikan segera apabila terdapat dua badan yang menuntut hak memegang tanggungjawab ke atas skuad bola sepak Cerebral Palsy yang tidak berjaya mencapai kata sepakat dan akhirnya membawa kerugian buat atlet.
"Terdapat dua persatuan ditubuhkan jadi keduanya mendapat surat yang mengharuskan salah satunya perlu ditutup dan bergabung serta saling bertolak ansur.
"Jadi itu yang saya tidak boleh maklumkan apa yang mereka perlu buat. Untuk saya, jangan kerana perkara itu atlet terabai. Saya cuba martabatkan bola sepak CP, mereka juga peroleh pingat emas tahun lepas." katanya.
Begitupun, lain pula nada yang di lontarkan Presiden CPFAMY, Abdul Majid Mat, yang tidak nampak keperluan perbincangan dua hala yang dimaksudkan MPM.
Sedangkan pihaknya sudah memperakui Pesuruhjaya Sukan Malaysia menerusi pendaftaran sejak 2021, selain MSN banyak membantu pihaknya mempersiapkan pasukan sebelum saingan Para ASEAN di Kemboja 2023 nanti.
"Tiada keperluan untuk berjumpa kerana ramai orang di luar sana ingin menubuhkan persatuan jadi bergantung pada mereka. Kita adalah persatuan yang sudah didaftarkan dan diakui oleh KBS, malah MSN juga membantu kita untuk menjalani latihan menghadapi Sukan SEA di Kemboja sebelum ini dan berjaya menang emas tahun lalu selepas hampir 20 tahun." katanya.
Saufi Tahir
Sun Nov 24 2024