Skip to main content

Bola Sepak

Mourinho harap Levy bantu selesai masalah ketiadaan Kane

mourinho.jpg
Jose Mourinho berharap Pengerusi Tottenham Hotspur, Daniel Levy, akan membantunya menyediakan penyelesaian dalam jendela perpindahan pemain memandangkan pasukan itu akan menghadapi beberapa bulan yang mencabar tanpa penyerang utama, Harry Kane.

Selepas bermula baik sebagai pengurus Spurs, Mourinho terpaksa menelan hakikat kemerosotan prestasi pasukannya apabila hanya mencatatkan satu kemenangan daripada lima perlawanan dalam kesemua kejohanan.

Menambah buruk situasi itu, Spurs turut kehilangan Kane dan Moussa Sissoko gara-gara kecederaan serius.

Tanguy NDombele pula masih bergelut dengan masalah kecergasan.

Kelab itu sedang dikaitkan untuk mendapatkan beberapa pemain dalam jendela perpindahan bulan ini, antaranya Gedson Fernandes (Benfica) dan Krzysztof Piatek (AC Milan).

Levy terkenal dengan reputasi sebagai seorang yang amat berjimat dalam jendela perpindahan pemain tetapi Mourinho optimis kelab itu mampu memanfaatkan setiap peluang yang ada.

Bercakap menjelang pertemuan dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, awal pagi esok, Mourinho berkata kepada wartawan: "Sedangkan jurulatih tanpa kecederaan, tanpa sebarang masalah dalam pasukan dan memiliki skuad terbaik -- Jurgen (Klopp, pengurus Liverpool) contohnya, dengan pasukan terbaik, dengan pemain dan skuad yang hebat, amat gembira untuk mendapatkan pemain baru (Takumi Minamino).

"Kami (pengurus) semuanya sama tetapi realitinya apabila saya tiba di sini dua bulan lalu, saya sedar akan situasinya.

"Sudah pasti saya tidak tahu akan kehilangan Kane dan Moussa untuk tempoh yang panjang tetapi saya sedar akan situasi yang memerlukan saya untuk mengeluarkan yang terbaik daripada pemain yang kami ada.

"Dan ia tidak pernah berubah, jadi saya fokus dengan tugas saya dan perlawanan.

"Jika bos (Levy) tampil dengan penyelesaian yang boleh membantu kami menghadapi kesukaran beberapa bulan ini, ia amat dialu-alukan.

"Tetapi jika kami tidak menemui sebarang penyelesaian dan peluang yang tepat, kami akan menunggu sehingga musim panas yang akan datang untuk membuat pilihan yang tepat bagi mengubah pasukan ini," katanya.

Kane dijangka akan berehat sehingga April depan dan akan terlepas banyak baki perlawanan musim ini.

Walaupun Piatek dilihat sebagai pengganti jangka pendek yang sesuai, Mourinho menegaskan tiada sesiapa boleh menggantikan ketua pasukannya itu.

"Kane amat penting dan tiada galang ganti.

"Tiada pemain dapat menggantikannya dan Moussa bermain dengan amat baik sejak saya tiba di sini, salah seorang pemain terbaik kami.

"Berita buruknya, ia bukan seminggu dua, ia memerlukan pembedahan dan tempoh yang amat-amat panjang.

"Jika anda benarkan, saya tidak mahu bercakap mengenai Kane dan Moussa sehingga mereka kembali, jadi ayuh bercakap mengenai apa yang perlu dilakukan tanpa mereka.

"Amat normal untuk semua orang bercakap mengenai Harry tetapi saya tidak mahu terlalu banyak bercakap mengenainya kerana ia akan membuatkan saya murung.

"Kemudian anda akan katakan yang saya seorang yang sengsara, murung dan kepala angin, jadi lebih baik untuk bercakap mengenai perkara yang membuatkan saya ketawa," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa

Advertisement

Must Watch Video