Selangor berada dalam motivasi terbaik untuk melayan kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan Liga Super di laman sendiri malam ini.
Kemenangan 2-1 ke atas Jeonbuk Hyundai Motors dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) pada Rabu lalu melonjakkan semangat pemain untuk melakar keputusan positif di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Pengurus pasukan itu, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, berkata di sebalik kecederaan beberapa pemain, skuad Gergasi Merah itu optimis pemain yang bakal diturunkan oleh ketua jurulatih, Nidzam Jamil, mampu menggalas tugas dengan baik.
"Motivasi pemain ketika ini sangat baik. Kemenangan ke atas kelab dari Korea Selatan memberi motivasi terbaik buat pemain," katanya.
Sebagai rekod, Selangor tumpas 1-6 kepada JDT dalam final Piala FA 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ogos lalu.
Mahfizul, bagaimanapun, sedar Selangor bakal berdepan tentangan sengit pasukan lawan yang mempunyai pengalaman beraksi dalam perlawanan kompetitif di pentas Asia berkenaan.
"Kami akui JDT mempunyai pemain-pemain yang bagus dan mempunyai lebih pengalaman beraksi terutama dalam perlawanan berprofil tinggi," katanya lagi.
Di sebalik status itu, Mahfizul berharap pemain tidak berasa gentar, sebaliknya menanam tekad untuk memperagakan aksi terbaik sebagai hadiah buat penyokong Gergasi Merah.
Malah dia percaya jurulatih mempunyai ramuan tersendiri untuk berdepan Harimau Selatan.
Mahfizul turut mengesahkan kapten, Safuwan Baharudin, dan Mukhairi Ajmal sudah menjalani latihan bersama rakan sepasukan mereka, namun keputusan untuk menurunkan dua pemain itu terserah kepada jurulatih.
--Sinar Harian
Stadium Astro
Sun Oct 27 2024