CHALLENGE CUP
MFL Challenge Cup: Cristiano Ronaldo pernah berada di depan mata saya, kata jurulatih Selangor
Pengendali Selangor Katsuhito Kinoshi, menolak tanggapan saingan Piala Cabaran sebagai kejohanan kelas kedua sebaliknya menegaskan ia sama seperti perlawanan di Eropah.
Ini berdasarkan pengalamannya semalam yang menyaksikan The Red Giants berjaya meraih bekalan tipis menerusi kemenangan 3-2 ke atas PDRM pada perlawanan akhir pertama.
Penampilan Selangor di pentas Piala cabaran dipandang sepi oleh sesetengah peminat.
Iklan
"Ketika saya berada dalam pasukan kebangsaan Serbia, kami menewaskan Portugal. Di hadapan saya, ada pemain terkemuka seperti Cristiano Ronaldo, Diogo Jota dan Joao Cancelo tetapi kami dapat menang dan beraksi di Piala Dunia. Ini satu pengalaman yang menakjubkan.
"Saya juga mengharungi banyak perlawanan yang berkualiti tinggi di Eropah tetapi bagi saya, perlawanan malam ini (semalam) sama dengan perlawanan besar yang saya hadapi sebelum ini kerana ini adalah tanggungjawab kita.
"Sama juga untuk final Piala Cabaran MFL, kita perlu berjuang dan menunjukkan mentaliti kita bagi mendapatkan keputusan yang menepati misi kita," kata Kinoshi.
Mereka berasakan kelab berkenaan tidak sepatutnya beraksi di kejohanan itu sebaliknya final Piala Malaysia.
Anak buah Kinoshi bagaimanapun enggan mengambil peduli apabila tetap memberikan komitmen terbaik demi kebanggaan Merah Kuning.
Tempang tanpa kapten, Safuwan Baharudin yang dilayangkan kad merah seawal minit ke-10, Selangor tetap berupaya merakam kemenangan dengan Alvin Fortes cemerlang meledak dua gol dan satu gol lagi disumbangkan Ali Olwan.
"Kemenangan tipis tetapi ia adalah kemenangan yang besar kerana kita beraksi dengan 10 pemain bagi tempoh lebih 80 minit. Pada masa rehat, saya katakan kepada pemain mengenai sejarah SFC dan kita berada di sini kerana sejarah.
"Sejarah kini memberikan situasi sukar kepada kita jadi bagaimana kita perlu bangkit dan berjuang supaya kita dapat mencipta kejayaan. Ada satu lagi perlawanan dan kita perlu teruskan usaha untuk memberikan kegembiraan kepada penyokong.
"Dalam bola sepak, tiada siapa boleh mengubah jika pengadil sudah melayangkan kad merah. Kita harus terima dan kita perlu mencari jalan untuk mengharungi cabaran itu," katanya.Gol PDRM pula dihasilkan bekas penyerang Selangor, Shahrel Fikri Md Fauzi dan pertahanan Badrul Effendy pada babak pertama.
Memuji kebangkitan pemain, jurulatih The Cops P. Maniam, menegaskan kelebihan seorang pemain nyata bukan jaminan untuk menang.
"Saya tidak mahu beri alasan, saya bertanggungjawab atas keputusan ini kerana saya jurulatih. Kita ada peluang lagi (aksi final kedua), jadi pemain mesti faham, kita akan bermain 90 minit lagi, ia tidak mudah, tetapi tidak mustahil (untuk kita menang)," kata Maniam.
Must-Watch Video