Skip to main content

Bola Sepak

Melaka sasar kedudukan empat teratas

melaka.jpg
Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) menyasarkan untuk menduduki empat kedudukan teratas dalam Liga Super serta merangkul satu trofi musim ini, kata presidennya, Damien Yeo Shen Li.

Dalam usaha mencapai sasaran itu, pengurusan MUSA telahpun mengambil tindakan proaktif dengan membentuk sebuah pasukan yang kuat dengan gandingan pemain berpengalaman dan pemain baru, yang merupakan pemain bola sepak masa depan negeri itu.

"Walaupun dengan sumber kewangan yang ada, MUSA percaya pasukan yang telah dibina mempunyai semangat melawan yang kuat bagi musim akan datang. 

"Tidak ada apa yang mustahil untuk dicapai, maka MUSA percaya Melaka United akan mampu berdepan dengan pasukan terbaik dunia pada masa depan.

"Saya berhasrat untuk mengambil tanggungjawab ini bagi mencapai sasaran dalam menjadikan Melaka United sebagai satu jenama yang dikenali di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Melaka di bawah kendalian legenda bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan, menamatkan Liga Super musim lalu di tempat keenam dan mendahului Kumpulan D dalam Piala Malaysia sebelum tewas kepada Pahang dengan agegrat 1-6 di peringkat suku akhir.

Damien berkata beliau menyedari impian penyokong pasukan Hang Tuah itu untuk melihat pasukan mereka bermain di Stadium Bukit Jalil dalam perlawanan akhir dan dengan kerja keras, mereka percaya Melaka bukan sahaja layak ke Bukit Jalil tetapi juga di stadium di luar negara untuk berhadapan pasukan terbaik dunia.

"Tidak salah untuk kami mempunyai impian yang mungkin mustahil untuk dicapai. 

"Bagaimanapun, kami mesti sentiasa positif untuk membuat impian itu menjadi kenyataan,” katanya.

Bercakap mengenai memperhebatkan lagi kelab itu, beliau berkata pengurusan pasukan juga bercadang untuk mendapatkan hak ke atas Stadium Hang Jebat supaya ia boleh dimiliki MUSA dan kekal sebagai stadium tuan rumah buat Melaka.

MUSA juga mahu memastikan penerusan pembangunan bola sepak di Melaka dan percaya pembangunan akar umbi merupakan satu cara bagi memastikan pasukan itu terus kompetitif dan kekal wujud sebagai sebuah pasukan.

“Di atas sebab itu, adalah satu hasrat pengurusan MUSA di bawah kepimpinan saya untuk menubuhkan Akademi Bola Sepak Melaka United, dengan slogan  #Mission04, yang akan membawa bakat muda ke tengah selain memberikan kepada anak Melaka peluang untuk bermain bola sepak,” katanya.

-- BERNAMA


 

Advertisement

Must Watch Video