Skip to main content

Bola Sepak

Melaka bakal terima sentuhan Elavarasan, sah tandatangani Apek

yusoff.jpg
Susulan rentetan kekalahan, pengurus Melaka United, Datuk Wira Yusof Mahadi, mengakui mereka perlu segera mendapatkan jurulatih baru dengan E. Elavarasan antara yang dikaitkan untuk menyertai pasukan itu.

Skuad Melaka mengalami kekalahan keempat berturut-turut dan yang keenam musim ini selepas tewas 0-2 kepada PKNS FC dalam Liga Super, semalam.

Kekalahan terbaru itu hadir selepas Melaka merehatkan pengendalinya, Eduardo Almeida, ekoran prestasi buruk dalam beberapa perlawanan terdahulu.

Menimbulkan persoalan mengenai calon pengganti kepada jurulatih Portugis itu apabila kelibat Elavarasan dilihat ketika perlawanan menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam, semalam.

"Kami sedang memikirkan apa yang terbaik untuk pasukan Melaka dan buat masa ini saya ada bertemu dengan beberapa jurulatih, bukan hanya jurulatih tadi (Elavarasan).

"Kami akan membuat keputusan muktamad secepat mungkin kerana kami tidak boleh tunggu lama. Ini kerana pada 12 Mei nanti, kita sudah masuk ke pusingan kedua Liga Malaysia," kata Yusof. 

Elavarasan pernah membawa PKNS FC ke pentas final Piala FA pada 2016 selain pernah membimbing skuad Melaka pada 2008 sehingga 2009.

Dalam perkembangan lain, Yusof mengesahkan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek, akan diturunkan bertemu Perak dalam aksi di Ipoh, Sabtu depan selepas sah menyertai pasukan itu dengan kontrak enam bulan.

Advertisement

Must Watch Video