Skip to main content

Bola Sepak

Mbappe, teori konspirasi dengan Real Madrid

mbappe.jpg
Mungkin sudah takdir jodoh Kylian Mbappe dengan Paris Saint-Germain (PSG) tidak kekal lama.  

Sewaktu ramai menantikan saat Mbappe menyarung jersi putih Real Madrid pada penghujung musim lalu, dia mengambil keputusan mengejut dengan memutuskan untuk menyambung kontrak bersama PSG selama dua tahun lagi.  

Dia dilaporkan turut menelefon pengerusi Madrid, Florentino Perez, secara peribadi bagi memohon maaf dan memberikan penjelasan tentang keputusannya itu.  

Selang setahun kemudian, setelah menyudahkan musim dengan meraih gelaran juara Ligue 1 tetapi sekali lagi kecundang di pentas Eropah dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL), episod drama perpindahan Mbappe kini nampaknya telah bermula semula secara rasminya.  

Menurut pelbagai sumber media, PSG telah memutuskan untuk tidak menyenaraikan nama Mbappe dalam kalangan pemain yang bakal menyertai tempoh jelajah pra-musim ke Jepun -- satu petanda besar mereka bersedia untuk menjual dia akhirnya.  

Ia dilaporkan bahawa pihak PSG mendapati dan percaya bahawa Mbappe telah secara diam-diam mempunyai persetujuan untuk menyertai Madrid secara perpindahan percuma sebaik sahaja kontraknya bersama pasukan tamat pada penghujung musim 2023-24.  

Maklumat itu nyata mendatangkan kemarahan buat Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi, sehingga dia dilaporkan telah mengeluarkan arahan kepada pengurus pasukan yang baru, Luis Enrique, untuk meletakkan sahaja Mbappe di bangku pemain simpanan buat sepanjang musim dan jangan sesekali menjadikannya sebagai pemain kesebelasan utama.  

"Jika Mbappe mahu kekal bersama pasukan, dia wajib menandatangani kontrak baru. Mustahil kami mahu melepaskan dia secara percuma, dan dia sendiri pernah berjanji tidak akan membiarkan perkara itu terjadi.  





"Jika dia berubah fikiran, itu bukan salah saya," ujar Al-Khelaifi dalam satu temu bual pada awal bulan ini.  

Dengan pendedahan itu, pelbagai spekulasi mula timbul tentang destinasi Mbappe seterusnya. Biarpun Madrid sewajarnya menjadi satu-satunya pilihan ketika ini, masalah yang timbul adalah mengenai yuran perpindahan.  

Madrid dilaporkan tidak bersedia mengeluarkan belanja besar secara mengejut pada waktu ini kerana rancangan mereka adalah untuk memperoleh Mbappe secara percuma tahun depan.  

Namun, hakikatnya adalah Madrid sememangnya mampu untuk mendapatkan wang yang diperlukan jika diberikan sedikit waktu -- tahap efisien pasukan mereka dalam hal sepenting ini tidak harus dinafikan.  

Apatah lagi, Madrid sememangnya memerlukan khidmat seorang penyerang utama setelah perpindahan Karim Benzema untuk menyertai kelab Arab Saudi, Al-Ittihad.  

Pasukan mereka telah mendapatkan Joselu dari kelab Espanyol secara pinjaman, namun kehebatan pemain itu sememangnya tidak wajar dibandingkan dengan Mbappe selaku salah seorang penyerang terbaik dunia ketika ini.  

Mungkin kelab-kelab lain yang mempunyai kemampuan kewangan kukuh seperti Chelsea tiba-tiba membuat keputusan untuk membuat bidaan, tetapi mahukah Mbappe menyertai The Blues yang terumbang-ambing dengan pelbagai masalah ketika ini, atau sanggupkah dia berebut tempat dengan Erling Haaland selaku penyerang utama Manchester City?  

Ada juga kemungkinan kelab-kelab Arab Saudi yang kaya-raya tidak mampu menahan godaan dan cuba mendapatkan Mbappe tetapi sukar dibayangkan betapa tingginya gaji yang harus ditawarkan.  

Jika pemain yang sudah berusia seperti Jordan Henderson pun sanggup diberikan gaji setinggi £700,000 (RM4.1 juta) seminggu, berapa agaknya gaji yang harus diberikan untuk Mbappe?  

Secara peribadi, andai benar Mbappe berangkat ke Arab Saudi, seluruh dunia bola sepak semestinya terkesima kerana ia mencadangkan bahawa wang adalah segala-galanya dalam era ini dan kualiti liga serta pasukan tidak lagi dipentingkan.  

Ke mana pun hala tuju Mbappe kelak, apa yang pasti adalah ia tidak akan menelan belanja yang kecil, malah dijangkakan bakal memecah rekod dunia.  

 
 

 

Advertisement

Must Watch Video