Skip to main content

Bola Sepak

Martinez selesa di Inter

martinez.jpg
Lautaro Martinez berasa sangat gembira di Inter meskipun persembahannnya musim ini mencetuskan minat di seluruh Eropah.

Penyerang Argentina berkenaan merakamkan jaringan ke-15 musim ini ketika kelab yang berpangkalan di Milan itu diikat Atalanta 1-1 hujung minggu lalu. 

Gandingan pemain berusia 22 tahun itu bersama Romelu Lukaku di barisan depan membolehkan Nerazzurri menjadi pencabar serius kepada Juventus dalam Serie A.

Persembahannya itu mengundang perhatian Barcelona, yang akan kehilangan khidmat Luis Suarez selama empat bulan, malah Manchester City melihat Martinez sebagai pewaris jangka panjang yang sesuai kepada penjaring terbanyak mereka, Sergio Aguero.

"Saya sangat gembira di Inter, orang ramai menyukai saya dan saya sayangkan mereka," katanya kepada TyC Sports.

"Jika anda bercakap tentang saya (sebagai sasaran perpindahan), ia adalah kerana saya melakukan tugas dengan baik, saya harus meneruskan rentak ini.

"Saya berasa tenang, saya menjalani kehidupan secara harian serta gembira dan selesa di sini."

Antonio Conte mula mengemudi Inter sebelum permulaan musim ini dan Martinez telah membuktikan bekas pengurus Juve dan Chelsea itu sebagai pendorong kepada perkembangan pesat prestasinya.

"Banyak perkara telah berubah sejak dia masuk," katanya. "Dia mempunyai cara yang istimewa untuk melakukan sesuatu dan telah mengajar kami mengenai banyak perkara sejak hari pertama memikul tanggungjawabnya. 

"Dia telah meyakinkan kami semua untuk memberikan yang terbaik dan hasilnya boleh dilihat semua.

"Saya terpaksa menyesuaikan diri dengan budaya baru di negara lain dan belajar bahasa berbeza. Saya beraksi lebih ke bawah bersama pengurus terdahulu, namun dengan Conte, saya telah berkembang banyak dan menikmati situasi yang sedang berlaku. "

Conte berjaya menjamin pembelian Lukaku daripada Manchester United, seorang pemain yang cuba ditandanganinya ketika di Chelsea, lantaran itu Martinez turut menerima manfaat besar. 

"Lukaku banyak membantu saya. Dia seorang pemain -- baik di luar mahupun di atas padang -- yang sangat penting buat saya," katanya mengenai pemain antarabangsa Belgium berkenaan yang sudah mencetak 18 gol. 

"Dia seorang invididu yang sangat baik dan banyak membantu saya. Saya sangat gembira dapat bertemu dengannya."



​Editor: Shaiful Shamsudin 

Advertisement

Must Watch Video