Skip to main content

Bola Sepak

Marcelo tidak berminat layan komen Klopp

marcelo.jpg
Tonggak Real Madrid, Marcelo, menegaskan dia langsung tidak menghiraukan corak bertahannya setelah pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, mengeluarkan kenyataan mengenai permainannya yang tidak menentu. 

Dalam temubual dengan bekas penyerang Liverpool, Robbie Fowler, yang diterbitkan oleh Mirror, Klopp memberitahu bahawa karakter Marcelo lebih baik ketika menyerang berbanding memenuhi tugasan hakikinya sebagai pertahanan.

Analisis terperinci pengurus Jerman berkenaan cuba menjelaskan tentang cabaran untuk memanfaatkan serangan agresif lawan.

Dalam sidang media menjelang final Liga Juara-Juara di Kiev awal pagi esok, seorang wartawan memberitahu Marcelo bahawa Klopp mendakwa pemain antarabangsa Brazil itu "tidak mampu bertahan".

Bagaimanapun, bintang Selecao berusia 30 tahun itu berhati-hati sambil mengelak daripada terjebak dengan pertikaman lidah menjelang aksi di Stadium NSC Olimpiyskiy itu. 

"Saya tidak menonton tembubual itu," kata Marcelo.

"Dalam perlawanan akhir seperti ini, ramai orang suka bercakap tentang perkara yang tidak benar.

"Itu pendapat mereka, saya gembira dengan kerja dan rakan sepasukan saya manakala jurulatih gembira dengan cara saya bermain.

"Saya bekerja dengan rendah diri dan saya tidak memberi pendapat saya tentang cara kerja orang lain. Saya tidak pernah melihat wawancara Klopp, jadi saya tidak boleh memberikan pendapat," ujarnya.

Meskipun membimbing pasukan itu menjulang rentetan dua kejayaan Eropah dan mara ke final buat kali ketiga berturut-turut, pengurus Madrid, Zinedine Zidane, tetap di bawah tekanan berikutan gagal mengekang Barcelona daripada meraih kejuaraan LaLiga.

Marcelo, bagaimanapun, menegaskan bahawa bekas pemain antarabangsa Perancis itu kekal sebagai pengurus terbaik untuk tugasan itu.

"Saya tidak akan mengubah Zinedine Zidane," katanya.

"Suatu hari anda berada di puncak dan pada hari berikutnya semua orang meletakkan anda di bawah tetapi bagi saya, Zidane adalah jurulatih terbaik di dunia."
 

Advertisement

Must Watch Video