Skip to main content

Bola Sepak

Mancini cabar Balotelli rebut semula tempat dalam skuad Itali

mariobalotelli-cropped_1wtfzxgvsp9vv1jfwd392qkuhp.jpg
Pengurus Itali, Roberto Mancini, berkata Mario Balotelii masih berada dalam perancangan skuad Azzurri tetapi ia bergantung kepada penggempur Marseille itu untuk membuktikan kemampuannya.

Balotelli melalui musim yang tidak menentu, gagal menyinar di bawah bimbingan Patrick Vieira di Nice selepas perpindahan ke Marseille gagal diselesaikan sebelum bermula saingan 2018/19, namun akhirnya berhijrah ke Stade Velodrome bulan lalu.

Pemain berusia 28 tahun itu juga melalui peranan yang tidak konsisten ketika bersama skuad kebangsaan.

Dia kembali memperkuatkan barisan Azzurri dalam aksi pertama kendalian Mancini, menjaringkan gol ketika menundukkan Arab Saudi tetapi tidak menyarung jersi Itali sejak aksi Liga Negara-Negara UEFA berdepan Poland yang berakhir seri September lalu.

Balotelli beraksi buat Marseille dalam dua perlawanan terakhir, menyumbat gol selepas dimasukkan selaku pemain gantian ketika menentang Lille dan Mancini bersedia untuk menerima semula kehadiran bekas penyerang Manchester City itu di masa akan datang.

"Kami tidak terlepas pandang. Balotelli merupakan sebahagian daripada perancangan," kata Mancini.

"Dia sedar mengenai perkara itu dan tahu segalanya bergantung kepada dirinya sendiri, bukan saya.

"Setakat ini, dia jarang beraksi. Ahad lalu, dia bermain perlawanan kedua dalam masa beberapa bulan. Namun, jika dia menjaringkan gol secara konsisten sehingga Mac nanti, dia mungkin akan kembali."

Mancini turut menyenaraikan penyerang berusia 36 tahun Sampdoria, Fabio Quagliarella, yang menyamai rekod menghasilkan gol dalam 11 perlawanan Serie A berturut-turut, menjelang kem latihan selepas ini.

Quagliarella menyumbat 16 gol musim ini, hanya Cristiano Ronaldo yang mengatasi jumlah itu dan Mancini mengakui dia tidak boleh mengabaikan prestasi penyerang itu.

"Dia berhak untuk berada di sini walaupun sudah berusia," tambah Mancini. 

"Dia bermain dengan baik, menyumbat gol dan menjadi salah seorang penjaring terbanyak Serie A.

"Quagliarella sentiasa menjadi pemain yang kuat tetapi dia sedar dia tidak mampu untuk membarisi skuad masa depan Itali."

Advertisement

Must Watch Video