Skip to main content

Bola Sepak

Lyon tidak minat layan tawaran untuk Dembele

moussa-dembele.jpg
Lyon menegaskan bahawa Moussa Dembele tidak akan dilepaskan di celah-celah laporan Chelsea mahu membeli penyerang itu.

Dembele telah mencecah 25 gol dalam 51 penampilan Ligue 1 sejak menyertai Les Gones daripada gergasi Scotland, Celtic, pada 2018, namun dia hanya merekodkan satu gol dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL) sepanjang 12 perlawanan untuk kelab berkenaan. 

Prestasinya dikatakan telah mengundang perhatian pasukan yang berpangkalan di London itu yang dalam usaha mewujudkan persaingan buat Tammy Abraham selepas larangan perpindahan mereka dikurangkan ekoran rayuan.

Laporan di Perancis mengatakan Chelsea membuat tawaran awal bernilai €40 juta (RM183.1j) bagi mendapatkan Dembele, yang sempat dikaitkan dengan Manchester United pada Julai lalu tetapi kelab Perancis itu mengeluarkan satu kenyataan awal pagi tadi untuk mengulangi pendirian mereka mengenai masa depan penyerang berusia 23 tahun tersebut.

"Lyon telah memberi perhatian terhadap maklumat tertentu yang disiarkan oleh media yang mengaitkan Moussa Dembele telah menarik minat kelab lain dalam jendela perpindahan kali ini," kata kenyataan itu.

"OL sekali lagi ingin menegaskan, sama seperti ketika musim panas 2019 lalu, iaitu untuk memastikan Moussa Dembele kekal. Kelab ini mempunyai keyakinan penuh terhadap Moussa dan bergantung harap kepadanya untuk membina sebuah pasukan yang berjaya pada musim-musim akan datang."

Lyon kini di tangga ke-12 Ligue 1 apabila hanya menang sekali daripada empat perlawanan terakhir liga, namun mereka akan berdepan Juventus di peringkat 16 Liga Juara-Juara (UCL) bulan depan.

Skuad bimbingan Frank Lampard itu juga dilaporkan berminat dengan tonggak England yang beraksi untuk Borussia Dortmund, Jadon Sancho, selain bintang Crystal Palace, Wilfried Zaha, yang dikatakan dinilai £80j (RM430.6j) oleh The Eagles.




Editor: Shaiful Shamsudin 

Advertisement

Must Watch Video