Skip to main content

Bola Sepak

Luqman Hakim berkelana ke liga utama Belgium

luqman-hakim_1.jpg
Luqman Hakim Shamsudin terus mengembangkan kariernya di peringkat lebih tinggi apabila menyertai kelab Belgium, KV Kortrijk, dengan kontrak selama lima tahun, bermula Mac tahun depan.

Persembahan cemerlang penyerang skuad B-18 negara itu dalam Kejohanan AFF B-18 di Vietnam, bulan lalu berjaya menarik minat kelab luar untuk melamarnya.  

Selepas menyertai sesi percubaan dengan kelab di Jepun, produk Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) itu tanpa diduga mendapat tawaran kontrak profesional daripada KV Kortrijk.

Namun, dia, yang meledak empat gol dalam kempen di Vietnam lalu, terlebih dahulu akan menjalani latihan bersama Cardiff City FC, awal Januari depan sebelum menyertai kelab utama Liga Belgium berkenaan. 

"Saya berasa amat teruja dan bangga sebab (pemilik Cardiff City dan KV Kortrijk) Tan Sri Vincent Tan memberi peluang kepada saya untuk bermain di luar negara. 

"Saya hargai jasa beliau. 

"Saya juga mahu membanggakan ibu bapa dan berharap rakyat Malaysia mendoakan (kejayaan) saya," katanya dalam majlis pengumuman di pusat membeli belah Berjaya Times Square di ibu kota, sebentar tadi. 

KV Kortrijk, yang kini di tangga ke-11 Liga Utama Divisyen A Belgium, dimiliki Vincent yang juga pemilik Cardiff City.

Turut hadir dalam majlis pengumuman itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sambil ditemani Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam dan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Zainal Abas. 
 

Advertisement

Must Watch Video