Skip to main content

Bola Sepak

Liga M pengaruh peningkatan prestasi pemain -- Khairul Amri

khairul-amri-vs-kuala-lumpur-piala-fa-2019.jpg
Penyerang Felda United dan bekas pemain kebangsaan Singapura, Khairul Amri Mohammad Kamal, mengakui kemahiran dan pengetahuan taktikal serta teknikal dalam kalangan pemain dalam Liga Malaysia (Liga-M) semakin meningkat.

Khairul Amri, yang pernah bermain dalam Liga 1 di Indonesia dan Liga Singapura, berpendapat perkembangan tersebut amat positif kerana mutu permainan dalam Liga-M disifatkannya mempunyai perbezaan tersendiri. 

Selepas semusim bersama skuad The Fighters, pemain berusia 34 tahun itu turut mengakui pengalaman bermain dalam Liga-M antara yang paling mencabar buat dirinya.

"Sebagai pemain Singapura, bermain di sini dapat meningkatkan lagi mutu permainan saya serta rakan sepasukan lain dalam skuad kebangsaan secara individu kerana Liga Malaysia begitu kompetitif.

“Malah, pengalaman saya jika hendak dibandingkan ketika bermain dalam Liga Indonesia, saya rasa daripada aspek kemahiran taktikal, Liga Malaysia lebih baik.

“Di sini, permainan lebih kompetitif dan secara disiplinnya mereka lebih seimbang, iaitu bukan sahaja daripada sudut menyerang tetapi semasa situasi bertahan. Mereka masih lagi turun membantu bahagian bawah,” katanya dalam kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Khairul Amri, yang telah mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa tahun lalu, pernah beraksi di Indonesia bersama Persiba Balikpapan pada 2010 dan 2011, selain banyak menghabiskan kariernya bersama Tampines Rovers dalam Liga Singapura.

Mengenai cabaran Felda United musim depan, dia berharap majoriti pemain baru dapat menyesuaikan diri dengan pemain sedia ada dengan cepat selain pasukannya itu tidak sekadar menjadi penumpang dalam saingan Liga Super 2020.

Felda United menamatkan saingan Liga Super 2019 di tempat ke-10.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video