Skip to main content

Bola Sepak

Legasi Zidane tidak akan terpadam -- Ramos

ramoszidane.jpg
Sergio Ramos memberikan penghormatan kepada jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane, selepas beliau mengambil keputusan mengejut untuk meninggalkan Santiago Bernabeu.

Selepas lima hari membimbing Real menjuarai gelaran Liga Juara-Juara (UCL) tiga kali berturut-turut dengan kemenangan 3-1 ke atas Liverpool, Zidane mengadakan sidang media secara tergempar hari ini.

Pengendali kelahiran Perancis itu mendedahkan beliau telah memaklumkan keputusannya kepada presiden kelab, Florentino Perez, dengan kapten pasukan, Ramos, merupakan satu-satunya pemain yang mengetahui mengenai pengumuman ini.

Perez terkejut di atas keputusan Zidane tetapi pengendali berusia 45 tahun itu berasakan "perubahan diperlukan" untuk membantu Real terus melakar kemenangan.

Sejurus berita peletakan jawatannya disahkan, Ramos menggunakan platfom media sosial untuk mengucapkan terima kasih di atas kerja keras yang dilakukan Zidane selama dua setengah musim bersama Los Blancos.

"Sebagai pemain dan jurulatih, anda mengambil keputusan untuk mengucapkan selamat tinggal ketika berada di atas," katanya. "Terima kasih di atas dua setengah tahun yang menakjubkan.

"Legasi anda tidak akan terpadam, salah satu kisah yang berjaya dalam sejarah Real Madrid."

Pemain tengah, Isco, senada dengan Ramos dan memuji Zidane untuk meningkatkan Real ke tahap yang lebih tinggi.

"Saya sangat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan anda dan menimba ilmu yang baru," kata Isco.

"Untuk bekerja dan menang bersama, anda telah membantu mencipta sejarah baru. Saya mengucapkan semoga berjaya untuk masa akan datang."
 

Advertisement

Must Watch Video