Skip to main content

Bola Sepak

Lampard mahukan peningkatan dalam mutu permainan Chelsea

franklampard.jpg
Frank Lampard percaya empat perlawanan sebelum ini menampilkan "kebaikan serta keburukan" Chelsea dan mahukan peningkatan bagi baki musim 2019-2020.

The Blues terikat 1-1 dengan Brighton and Hove Albion semalam selepas menewaskan Tottenham dan Arsenal di tempat lawan sementara tunduk kepada Southampton di antara dua perlawanan tersebut.

Beberapa aspek dalam persembahan Chelsea menghadirkan kebimbangan pasukan lain, dengan Lampard berkata skuad kendaliannya kekal "rendah diri" dan "bekerja keras".

"Terdapat usaha yang perlu dilakukan pasukan. Waktu Krismas ini telah merangkumkan keseluruhan musim kami.

"Tottenham menampilkan aksi keseluruhan yang cemerlang; di Arsenal, kami menunjukkan semangat dan perjuangan oleh barisan muda; Southampton, kami bergelut untuk menembusi benteng lawan dan tewas di laman sendiri; kemudian hari ini, perlawanan di mana kemenangan menjadi sasaran utama, namun peluang dalam separuh masa pertama gagal dilunas dengan baik.

"Ia telah membuktikan kebaikan serta keburukan pasukan. Ia menunjukkan bahawa kami perlu kekal merendah diri dan berusaha meningkatkan lagi mutu permainan. Kami memiliki dua keputusan positif ketika Krismas tetapi terdapat banyak lagi perkara yang harus diperbaiki," tambahnya.

Lampard kecewa di sebalik aksi hambar bertemu Brighton, namun beliau tidak meragui semangat Chelsea.

"Kadangkala, anda memiliki alasan kerana gagal menampilkan aksi cemerlang, kurang ketegasan dalam permainan, kurang apa-apa sahaja.

"Hari ini tidak, kami kurang menampilkan aksi berkualiti ketika mengawal permainan."

Chelsea kini bebas untuk menandatangani pemain bulan ini selepas penggantungan mereka dikurangkan, dengan The Blues mula dikaitkan dengan Wilfried Zaha dari Crystal Palace, yang dilaporkan berminat untuk penyerang Chelsea, Olivier Giroud.

Lampard, bagaimanapun, tidak berminat untuk membincangkan perpindahan tersebut.

"Saya tidak akan bercakap mengenai Zaha dan terdapat idea mengenai tawaran melibatkan Giroud. Ia sesuatu yang masih belum saya tentukan lagi. Saya tidak akan bercakap tentang Zaha kerana dia bukan pemain kami."



Editor: Ammar Hakim

Advertisement

Must Watch Video