Skip to main content

Bola Sepak

Kurang tajam buat Sabah gigit jari

jelius-a-2_1.jpg
Pengendali Sabah, Jelius Ating, berkata ketumpulan penyudah di bahagian serangan mengakibatkan mereka terpaksa pulang dengan tangan kosong selepas tewas 0-1 kepada Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, semalam.

Bagi Jelius, pasukannya memiliki banyak peluang, namun gagal diterjemahkan kepada jaringan oleh bahagian serangannya.

“Ia satu perlawanan sukar kerana bermain dengan hanya dua pemain import tetapi ia bukan masalah utama. Saya lihat kami mempunyai banyak peluang tetapi gagal dimanfaatkan disebabkan penyudah tumpul.

“Akhirnya pasukan lawan (Felda United) ambil kesempatan dengan hanya satu-satu peluang. Bagi saya, ia agak mengecewakan kerana kami perlu pasukan yang lebih baik untuk terus kekal bersaing, kami akan cuba bangkit selepas ini,” katanya.

Kekalahan itu menyaksikan Sabah kekal di tangga kelima liga dengan 15 mata hasil daripada tiga kemenangan, enam seri dan tiga kekalahan.

Dalam aksi malam tadi, Wan Zack Haikal Wan Noor muncul wira Felda United apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan yang menyaksikan  The Fighters terus kekal di persada liga. 

Sabah sebenarnya berpeluang untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata dari gelanggang lawan, namun banyak peluang dipersia-siakan menyebabkannya mereka terpaksa gigit jari.

Dalam perkembangan lain, Jelius berharap kekosongan kuota dua pemain import akan diisi dalam tempoh segera bagi menggantikan Lee Gil Hoon dan Heo Jaenyong yang tidak disambung kontrak yang tamat 17 Mei lalu.

“Saya berharap sekurang-kurangnya seorang pemain import baru dapat diambil menjelang perlawanan seterusnya, namun kami sedia maklum berlaku pertukaran pucuk pimpinan dalam pengurusan (Persatuan Bola Sepak Sabah) berikutan perubahan kerajaan negeri.

“Banyak perkara perlu diambil kira dalam mengambil pemain import, termasuk dalam aspek kewangan. Sebab itu peralihan pucuk pimpinan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut dapat diambil."
 

Advertisement

Must Watch Video