Skip to main content

Bola Sepak

Kolarov lanjut kontrak di Roma

aleksandar-kolarov-cropped_1nqfp91jbob3o1tidlvc35udhe.jpg
Aleksandar Kolarov bersetuju untuk melanjutkan kontrak bersama AS Roma sekali gus bakal bersama kelab itu sehingga penghujung musim 2020-21.

Pemain berpengalaman Serbia itu bakal bergelar ejen bebas pada Jun depan tetapi kini bersedia untuk berkhidmat dalam musim keempat di Stadium Olimpico.

Kolarov, 34, berpindah ke Roma daripada Manchester City dengan nilai EUR5 juta (RM22 juta) pada Julai 2017.

Dia telah melakukan 113 penampilan buat The Giallorossi dalam semua kejohanan dan membarisi kesebelasan utama Roma dalam kesemua 18 perlawanan Serie A musim ini.

"Saya mahu berterima kasih kepada kelab atas lanjutan kontrak ini, ia memberi makna besar kepada saya," katanya.

"Kini, saya lihat ia sebagai satu lagi titik permulaan. Saya mahu terus meningkat dan berkembang dalam usaha membangun bersama kelab ini."

Pakar sepakan percuma, Kolarov, menjaringkan lapan gol dalam Serie A musim lalu dan musim ini telah menambah lima lagi jaringan hasil situasi bola mati itu.

Roma kendalian Paulo Fonseca itu kini menduduki tangga keempat liga dan bek kiri, Kolarov, beraksi 90 minit sewaktu tewas 2-0 di tangan Torino di laman sendiri, hujung minggu lalu.


Editor: Nafis Abdullah

Advertisement

Must Watch Video