Skip to main content

Bola Sepak

Klopp kelu The Reds kekal prestasi tanpa kalah

liverpool.jpg
LIVERPOOL 2 SHEFFIELD UNITED 0 

Jurgen Klopp menyifatkan pencapaian Liverpool untuk bertahan tanpa tewas dalam sebarang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam tempoh setahun sebagai luar biasa susulan kemenangan 2-0 ke atas Sheffield United awal pagi tadi. 


Mohamed Salah dan Sadio Mane menemui sentuhan penyudah buat The Reds yang mempamerkan aksi dominan di Anfield setelah membuka jaringan pada minit keempat.

Kemenangan itu membawa Liverpool untuk melewati tempoh setahun tanpa kalah sejak 11 Januari tahun lalu dan kali terakhir mereka tumpas adalah ketika tersungkur 1-2 kepada Manchester City pada 3 Januari 2019.

Hanya dua kelab Liga Perdana yang pernah menikmati prestasi tanpa kalah dalam liga sambil Liverpool sedang meniti landasan untuk menjulang gelaran itu dalam tempoh 30 tahun.

"Ia mencerminkan banyak perkara positif, saya tidak mempunyai kata-kata yang cukup untuk itu, ia luar biasa," katanya kepada BT Sport.

"Kami tidak memikirkan mengenai tempoh setahun, 365 hari atau apa sahaja, (tetapi hanya) malam ini. Kami fokuskan untuk memenangi perlawanan ini, inilah sasaran kami dan ia sentiasa begini. 

"Pemain saya memberi tumpuan 100 peratus, itu perkara penting. Pastikan perlawanan ini dalam keadaan yang baik, itulah rancangannya.

"Tahun baru bagi kami bermula pada akhir Mei kelak, jadi kami mempunyai azam musim ini, bukannya azam tahun baru."

Keputusan itu memastikan Liverpool berkelebihan 13 mata di tangga teratas dan sejurus selepas perlawanan, pengurus pasukan lawan, Chris Wilder, meluahkan kekagumannya terhadap seterunya itu di samping memuji persembahan penjaga golnya, Dean Henderson. 

"Saya mengucapkan selamat berjaya kepada Jurgen. Saya sukakan segala-galanya mengenai mereka. Fizikal dan mental mereka adalah luar biasa," katanya sebelum mengalihkan perhatiannya kepada pertembungan dengan United.

"Ia benar-benar satu prestasi yang goyah ditampilkan oleh kami kecuali penjaga gol yang telah menyelamatkan dua atau tiga percubaan untuk membolehkan kami kekal bersaing. 

"Kami mempunyai satu atau dua peluang tetapi ia adalah prestasi di bawah tahap sebenar. Dalam Liga Perdana, kami menjangkakan akan mengharungi salah satu persembahan seperti ini. Ia akan berlaku dalam perlawanan ke-20 atau ke-21 dan ia pertama kali berlaku kali ini, jadi saya boleh berasa sedikit lega mengenainya."



Editor: Shaiful Shamsudin 

Advertisement

Must Watch Video