Skip to main content

Bola Sepak

Ketangkasan Oblak bayangi kemenangan Atletico

oblak.jpg
ATLETICO MADRID 2 LEVANTE 1

Jan Oblak adalah penjaga gol terbaik di dunia dan Atletico Madrid berterima kasih kepadanya kerana memastikan mereka terus bertahan untuk  kemenangan 2-1 ke atas Levante, kata pengurus, Diego Simeone.


Tonggak antarabangsa Slovenia itu memperagakan ketangkasan luar biasa untuk mengekang tandukan Enis Bardhi pada minit ke-93 dalam pertembungan di Wanda Metropolitano itu awal pagi tadi.

Penjaga gol tersebut telah menyelamatkan 14 daripada 17 percubaan tepat dalam LaLiga, termasuk dua ketika menentang Levante.

Atletico mencatat kemenangan keempat berturut-turut, lantas Simeone memuji Oblak di sebalik kecewa kerana perlu bergantung kepada pemain berusia 26 tahun itu selepas mereka membazirkan deretan peluang. 

"Bagi kami, dia adalah penjaga gol terbaik dunia. Dia merupakan salah seorang kapten kami. Dia ada ketika kami amat memerlukannya dan tindakan menyelamatnya menjulangnya sebagai salah seorang pemain yang membantu kami memenangi perlawanan," katanya. 

"Dia memberi kami peluang untuk memenangi perlawanan ini yang sepatutnya sudah dimuktamadkan lebih awal. 

"Tajuk utamanya ialah Oblak yang menyelamatkan Atletico tetapi kami seharusnya menyelamatkan kedudukan sekiranya kami memanfaatkan peluang yang ada sebelumnya. 

"Saya tidak mahu menentukan siapakah yang akan memenangi hadiah atau tidak (gelaran penjaga gol terbaik). Adalah tidak adil untuk bercakap mengenai penjaga gol pasukan lain tetapi bagi kami, jelas sekali dia merupakan penjaga gol terbaik di dunia."



Editor: Shaiful Shamsudin

Advertisement

Must Watch Video