Skip to main content

Bola Sepak

Keputusan Zidane satu kejutan, dakwa Perez

zidane.jpg
Presiden Real Madrid, Florentino Perez, mengakui terkejut besar ketika Zinedine Zidane melahirkan hasrat untuk mengundurkan diri. 

Sebentar tadi, Zidane mengesahkan dia akan meninggalkan kelab itu, hanya lima hari selepas memenangi Liga Juara-Juara (UCL) ketiga berturut-turut, dengan memetik keperluan "perubahan" baginya serta pasukan.

Masa depan pengurus berusia 45 tahun itu mula diragui ketika mereka dalam persiapan final UCL menentang Liverpool berikutan kegagalan mempertahankan gelaran LaLiga dan disingkirkan Leganes dalam Copa del Rey.

Bagaimanapun, Perez berharap Zidane akan kekal "selama-lamanya" tetapi hanya dimaklumkan tentang perancangan bekas bintang Perancis itu hari ini. 

"Seperti yang anda bayangkan, selepas memenangi UCL, untuk mendengar keputusan ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan," katanya dalam sidang akhbar. "Ia hari yang menyedihkan bagi saya dan juga peminat serta pemain kelab ini.

"Saya mahu dia sebagai pemain dan pengurus, saya mahu dia berada di sisi saya untuk selama-lamanya tetapi saya juga tahu sebaik dia membuat keputusan, ia adalah muktamad.

"Ini kejutan besar buat saya sejurus mendengar keputusan ini, saya ingin meyakinkannya untuk terus kekal tetapi saya tahu apa yang dihajatinya. Apa yang saya boleh tawarkan ialah perasaan sayang dan hormat selain mengingatkannya bahawa ini adalah rumahnya. "

Perez tetap berharap Zidane akan kembali ke kelab itu pada masa depan setelah memenangi sembilan trofi utama sejak mengambil alih pada Januari 2016.

"Tiada siapa yang bersedia untuk berita seperti ini," katanya. "Sebaik saya mendengarnya, saya pergi ke rumahnya untuk mengetahui sama ada dia sudah bersedia. Dia memberitahu saya dengan serius bahawa dia yakin (dengan keputusannya). 

"Saya ingin mengucapkan terima kasih atas komitmen, semangat, cinta dan semua yang dilakukannya untuk Real Madrid. Tingkah lakunya selalu menjadi contoh untuk semua orang dan dia telah mewakili Real Madrid dengan baik.

"Saya tidak mahu ini menjadi ucapan selamat tinggal, cukup sekadar 'kita akan berjumpa semula tidak lama lagi'. Saya tidak pasti dia akan kembali tetapi jika dia perlu berehat, dia memang berhak," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video