Skip to main content

Bola Sepak

Kepa didenda gaji seminggu ekoran insiden pertukaran pemain

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

kepa.jpg
Chelsea mendenda penjaga golnya, Kepa Arrizabalaga, dengan nilai gaji seminggu selepas enggan ditukarkan dalam perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) ketika pasukan itu tewas dalam penentuan penalti kepada Manchester City, semalam.

Kepa terpaksa menerima rawatan sebanyak dua kali dalam masa tambahan di Stadium Wembley itu dengan Willy Caballero -- wira Manchester City dalam penentuan sepakan penalti dalam final edisi 2016 -- sudah bersedia untuk dimasukkan.

Pengendali Chelsea, Maurizio Sarri, dilihat mengamuk selepas Kepa enggan menuruti arahannya manakala Caballero kebingungan di tepi padang kerana pertukaran itu ditangguhkan.

Sarri menjelaskan dalam sidang media selepas perlawanan dengan menyatakan ia merupakan salah faham dan dia menyedari kecederaan yang melanda pemain Sepanyol itu lebih serius daripada apa yang dirasakan Kepa.

Pengendali Itali itu mengulangi perkara tersebut dalam kenyataan rasmi Chelsea dan Kepa turut memohon maaf kepada Sarri dan keseluruhan pasukannya kerana tindakan itu.

Bagaimanapun, permohonan maaf itu tidak melepaskan dirinya daripada menerima hukuman daripada pentadbiran tertinggi pasukan.

"Kepa dan saya telah berbincang mengenai insiden itu dan ia berlangsung baik," kata Sarri dalam laman web rasmi pasukan.

"Ia hanya salah faham dan dia sudah menyedari reaksi yang diberikannya itu merupakan satu kesalahan besar.

"Dia sudah meminta maaf kepada saya dan seluruh pasukan.

"Ia terpulang kepada kelab ini andai mahu mengenakan sebarang tindakan disiplin ke atasnya, namun bagi saya, kes ini sudah ditutup.

"Prestasi yang dipamerkan seluruh pasukan adalah amat positif dan amat memalukan apabila insiden yang berlaku itu membayangi usaha kami memberikan saingan dalam aksi final.

"Semua pemain kini kembali fokus terhadap perlawanan seterusnya dan kami perlu melupakan segala yang terjadi sebelum ini," katanya.

Kepa pula mengakui dia gagal menangani situasi itu dengan baik dan memohon maaf kepada semua pihak.

Dia sedia menerima sebarang bentuk hukuman yang akan dikenakan ke atasnya.

"Saya amat teruja untuk beraksi dalam final pertama saya bersama Chelsea dan amat berbangga dengan prestasi pasukan ini.

"Saya mahu beraksi lebih lama dalam perlawanan itu. Keinginan saya itu mencetus salah faham.

"Saya telah melakukan kesilapan dan perlu menangani situasi ini.

"Saya mahu mengambil peluang ini untuk memohon maaf kepada jurulatih, kepada Willy, rakan sepasukan dan kepada kelab ini.

"Saya sudah melakukannya dan sekarang saya mahu menzahirkan permohonan maaf yang sama kepada penyokong kami.

"Saya akan belajar daripada episod ini dan sedia menerima sebarang bentuk hukuman yang bersesuaian," katanya.  

Advertisement

Must Watch Video