Skip to main content

Bola Sepak

Kelantan manfaatkan kelonggaran pertahanan Kuala Lumpur

kelantan_1.jpg
KELANTAN 4 KUALA LUMPUR 2

Kesilapan sendiri mengundang padah buat Kuala Lumpur apabila tumpas 4-2 kepada Kelantan dalam Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.


Pelawat turun tanpa penggempur utama, Guilherme de Paula, yang menjalani penggantungan manakala Kelantan hanya mempertaruhkan seorang pemain import, Cassio de Jesus, untuk memulakan perlawanan.

Berbekal sokongan di laman sendiri, tuan rumah memanfaatkan kelebihan apabila membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi Nik Azli Nik Alias yang menyudahkan percubaan dari jarak sukar untuk menewaskan Ahmad Solehin Mamat.

Enam minit kemudian, hantaran pendek dalam kubu sendiri mengundang padah. Kesilapan daripada Solehin itu dihukum Shafiq Shaharudin untuk menjadikan kedudukan 2-0 memihak kepada tuan rumah.

Terdesak dengan situasi itu, Kuala Lumpur membuat beberapa pertukaran pemain dan strategi, bagaimanapun pendekatan mereka tidak membawa impak yang dimahukan apabila Kelantan terus selesa di depan dalam separuh masa kedua.

Shafiq merekodkan jaringan kedua peribadi pada minit ke-68, sebelum Indra Putra Mahayuddin membuka jaringan buat Kuala Lumpur pada minit ke-77.

Selepas itu, Kelantan seperti tidak mengendurkan asakan pada hujung perlawanan apabila terus menemui gol, kali ini menerusi Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-89, sebelum Kuala Lumpur merapatkan jurang kepada 4-2 hasil jaringan Zafri Yahya seminit kemudian.

Keputusan hari ini

Liga Super

Kelantan 4 Kuala Lumpur 2
Negeri Sembilan 0 JDT 4
Pahang 2 Kedah 2
PKNS FC 2 Melaka United 0 

Liga Perdana

Pulau Pinang 0 MISC-MIFA 2

Advertisement

Must Watch Video