Skip to main content

Bola Sepak

Keita tambah kerunsingan Klopp

keita.jpg
Jurgen Klopp mengesahkan Naby Keita akan terlepas pertembungan Piala FA dengan seteru Merseyside, Everton, akibat cedera pangkal paha yang dialaminya sebelum kemenangan 2-0 atas Sheffield United awal pagi tadi. 

Keita pada mulanya tersenarai dalam kesebelasan utama untuk menghadapi The Blades dalam perhitungan Liga Perdana Inggeri (EPL) itu, namun masalah yang dialaminya dalam sesi memanaskan badan itu memaksa James Milner untuk mengambil tempatnya di bahagian tengah.

Ia adalah masalah terbaru kecergasan tonggak dari Guinea itu sejak berpindah daripada RB Leipzig hingga mengehadkan peranan pemain berusia 24 tahun berkenaan untuk hanya membuat lima penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Justeru, dia akan terpinggir buat sementara waktu, namun pengurus berbangsa Jerman tersebut tidak pasti sejauh manakah tahap kecederaan anak buahnya itu atau bagaimana ia berlaku. 

"Saya tidak pasti dengan tepat apakah yang menimpanya -- ia berkaitan dengan pangkal paha -- tetapi saya boleh mengatakan sudah tidak melihat kelibatnya akan terlibat dengan Everton," kata pengurus itu kepada wartawan.

"Jadi, saya hanya ada 12 pemain berpengalaman selain pemain remaja. Ia tidak menyenangkan tetapi kami tidak boleh mengubahnya.

"Saya tidak tahu bagaimana ia berlaku, saya fikir dia mula terasa sesuatu selepas melakukan tendangan terakhir dalam sesi memanaskan badan. Dia masuk ke bilik persalinan dan berjalan terhincut-hincut.

"Semua orang yang bermain bola sepak pernah mengalami kecederaan seperti ini dan ia tidak bagus. Ia menyakitkan, saya tidak tahu apa sebenarnya berlaku atau berapa lamakah dia akan berehat tetapi saya boleh mengatakan bahawa dia tidak akan bersedia untuk perlawanan Ahad ini (tengah malam Isnin ini)."

Selepas 'derby' Merseyside itu, mereka akan menyambung aksi EPL dengan bertandang ke Tottenham, 11 Januari  depan. 




Editor: Shaiful Shamsudin 

Advertisement

Must Watch Video