Skip to main content

Bola Sepak

Kedah lega kutip tiga mata di tempat lawan

azzmi.jpg
Penolong jurulatih Kedah, Azzmi Aziz, melahirkan rasa syukur selepas pasukannya membenam Selangor 2-1 di tempat lawan dalam Liga Super di Stadium Cheras, semalam.

"Pertama sekali, saya berasa bersyukur kerana mendapat tiga mata di tempat lawan. Di situ tiada apa yang kami jangkakan daripada pemain. Mereka telah memberikan yang terbaik dan bermain dengan sebaik mungkin.

"Dalam keadaan padang yang basah dan pemain sedikit berat, pastinya menyukarkan semua pemain," katanya.

Ketika hasrat tuan rumah begitu besar mahu menghapuskan badi kekalahan sejak empat perlawanan lalu, segalanya tampak sukar buat Gergasi Merah.

Hakikatnya, barisan Muhammad Nidzam Adzha Yusoff itu tampak lebih tenang menyusun gerakan mencari jaringan awal.

Ada hasil daripada skuad Hijau Kuning apabila hantaran Mohd Syazwan Zainon mudah ditanduk Baddrol Bakhtiar ke gawang Selangor pada minit ke-27

Seterusnya, aksi dalam babak kedua, Kedah terus mencari ruang untuk mengukuhkan kedudukan mereka dan ia mudah dijelmakan Liridon Krasniqi yang menerima hantaran Baddrol pada minit ke-51.

Selangor barjaya merapatkan kedudukan jaringan melalui Muhammad Syahmi Safari yang sukar dinafikan Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-69

Dalam keadaan terdesak, Selangor benar-benar memerlukan jaringan tambahan untuk tidak berputih mata di laman sendiri.

Itu mendorong jaringan yang berpunca dari tangan kapten Selangor, Mohd Amri Yahyah, pada minit ke-79 yang pantas dinafikan pengadil perlawanan, Fitri Maskon, bersama dengan layangan kad kuning kepada pemain berpengalaman itu.

"Kami kalah tetapi kami memberikan saingan yang baik kepada Kedah, terutama dalam 30 minit pertama separuh masa kedua. Tetapi dalam bola sepak, begitulah.

"Kami ada peluang untuk menjaringkan gol tetapi kami tidak memanfaatkan peluang itu. Kedah menggunakan peluang dengan baik dan itu yang menyusahkan kami," kata jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir.

Advertisement

Must Watch Video