Skip to main content

Bola Sepak

Kecederaan Norhakim paksa Sathianathan cari pengganti

sathianathan.jpg
Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, mengakui sedang mendapatkan seorang lagi pemain bagi memperkuatkan skuad Gergasi Merah susulan kecederaan serius yang dialami Norhakim Hassan.

Selangor menerima tamparan apabila pemain baru, Norhakim, didapati mengalami kecederaan di bahagian lutut.

Bekas pemain sayap Perak itu mungkin terpaksa berehat panjang tatkala sudah menandatangani kontrak dua tahun bersama skuad Merah Kuning.

"Tentang kontrak, saya perlu dapatkan kelulusan daripada pengurusan kerana kami tahu Norhakim sudah cedera dan mengambil masa lama. Saya terpaksa mencari pemain yang boleh beraksi di posisi dia dan posisi lain," ujar Sathianathan.

Ketika ini, bekas pertahanan Kelantan, Fitri Omar, menjadi calon hangat untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Norhakim selain dua pemain berpengalaman lain.

Fitri pernah beraksi di bawah bimbingan Sathianathan ketika mewakili Kelantan pada musim 2009 dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari 2011 hingga 2014.

"Pemain yang biasa bekerja dengan saya dulu adalah Fitri. Dia beraksi dengan dua pasukan di bawah kendalian saya. Jadi, dia ada pengalaman, begitu juga dengan dua lagi pemain yang saya tidak mahu sebutkan. Namun, kata putus akan ditentukan pengurusan," tambah pengendali itu.



Editor: Nafis Abdullah
 

Advertisement

Must Watch Video