Skip to main content

Bola Sepak

JDT II raih kemenangan pertama

asiana-jdtii.jpg

Johor Darul Ta’zim II (JDT II) berjaya mencatat kemenangan sulung dalam saingan Liga Premier musim ini selepas menewaskan Sarawak 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, malam ini.

Bagaimanapun, kejayaan meraih tiga mata itu tidak mengubah kedudukan JDT II yang kini terus menghuni tangga tercorot liga selepas mengharungi 10 perlawanan untuk berkongsi tujuh mata bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di tempat ke-10.

Advertisement

Pada aksi tersebut, gol pembukaan skuad kendalian Benjamin Mora Mendivil itu dijaringkan pemain import, Nicolas Alberto Fernandez pada minit ke-14 selepas penyerang kelahiran Argentina itu bijak menghukum kesilapan penjaga gol pasukan pelawat, Mohamad Firdaus Muhamad.

Penyerang muda meningkat naik, Muhammad Hadifayyadh Abdul Razak hampir meledak gol kedua buat JDT II pada minit ke-20, namun percubaannya tersasar.

JDT II akhirnya berjaya memperoleh gol kedua menerusi Muhammad Hafiy Haikal Ismail pada minit ke-80 yang melepaskan  rembatan kencang selepas berjaya mencari ruang di dalam kotak penalti untuk menyempurnakan sepakan sudut Nicolas Alberto Fernandez.

Keputusan 2-0 kekal hingga ke wisel penamat. JDT II dijadualkan akan menentang Sabah di venue sama Jumaat ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video