Skip to main content

Bola Sepak

Isu logo pada jersi bukti peminat sayang skuad Sarawak

26116sarawak.jpg
"Ia hanya logo pasukan, bukan logo persatuan," jelas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Razali Dolhan, selepas isu logo baru pada jersi skuad Bujang Senang pada 19 Januari lalu menjadi sasaran kritikan peminat.

Logo berbentuk grafik seekor buaya itu nyata mengundang perasaan tidak puas hati penyokong Ngap Sayot, yang mahukan logo persatuan itu dikembalikan.

"Kami berterima kasih kepada penyokong kerana prihatin akan isu ini.

"Ini menandakan sokongan mereka  terhadap pasukan kesayangan ini masih utuh dan tidak luntur, dan ia petanda baik untuk skuad muda Bumi Kenyalang ini," katanya.

Razali menjelaskan maskot buaya pada jersi tersebut sebenarnya menggambarkan wajah baharu dan ia sebahagian proses penjenamaan semula pasukan ini.

"Ia sesuai dengan proses peralihan kuasa yang berlaku dalam persatuan sendiri yang sedang bergerak ke arah komersialisasi."

Majlis Tertinggi FAS, katanya, masih mengekalkan logo lama sehingga ada keputusan dan kelulusan untuk menukar kepada logo yang baru.

"Kami mengalu-alukan pelbagai cadangan dan maklum balas daripada penyokong serta
pelbagai pihak. Kami amat positif dan menghargainya," tambahnya.

Sesuai dengan pengenalan logo pada jersi bermotif ukiran dayak itu, Razali mewakili FAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Lea Group of Companies
kerana telah sekali lagi menaja jersi Sarawak untuk tahun ke-27.

Sementara itu, menjelang pertemuan Liga Super di Stadium Negeri pada 4 Februari depan, dengan Sarawak akan melayan Pahang, FAS akan mengadakan pelbagai program untuk menarik kehadiran penonton serta mengimbas sejarah kegemilangan bola sepaknya.

Antaranya termasuk mengadakan perlawanan persahabatan khas di antara pasukan 'King of Croc’s' (FAS) menentang pasukan 'Legenda Ngap Sayot'.

Tambahnya lagi, peminat setia bola sepak Sarawak akan dapat mengimbas kembali kelibat aksi pemain yang pernah mengharumkan nama Sarawak, antaranya John Hunter, David Evans, Alistair Edwards, Alan Vest, Shamsurin Abdul Rahman, Ramos Sari, Ramles Sari, Affendi Julaihi dan Mohd Ali Sapiee pada hari tersebut.
 

Advertisement

Must Watch Video