Skip to main content

Bola Sepak

Irfan lega kutip tiga mata ke atas PDRM

280117-irfan-bakti.jpg
Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, jelas lega selepas menyaksikan pasukannya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas PDRM FA dalam saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

“Keputusan malam ini (semalam) adalah satu permulaan yang baik, namun kami agak tertekan pada 20 minit terakhir kerana ingin mempertahankan kedudukan.

“Rentak serta corak permainan juga sudah hilang ketika itu, mujur tiada peluang terbuka untuk pasukan lawan menjaringkan gol penyamaan.

“Pemain-pemain cuba untuk melancarkan serangan, namun aksi yang ditunjukkan sedikit kelam-kabut, terutama pada penghujung permainan,” katanya.

Dalam aksi semalam, tuan rumah bermula agresif dan hampir mendahului menerusi percubaan Federico Falcone pada minit ketiga, Issey Farran Nakajima (m-8), Muhd Ferris Danial (m-9) dan Lutfulla Turaev (m-11), namun gagal menemui sasaran.

Pemain tengah, Muhd Shahrin Sapien, menjadi penjaring tunggal selepas tenang menyempurnakan hantaran Turaev pada minit ke-33 bagi memastikan langkah kanan buat skuad Sang Penyu.

“Kegagalan menyempurnakan deretan peluang tidak seharusnya berlaku. Ini adalah perlawanan pertama kami, jadi saya berpuas hati dengan keputusan ini.

“Aksi sulung pemain import, Lazaro Vinicius, juga sangat cemerlang kerana berjaya mengemudi barisan pertahanan dengan baik sehingga tamat perlawanan,” tambah Irfan.

Rakan sejawatannya di PDRM, Mohd Fauzi Pilus, pula menerima kekalahan The Cops meskipun menyifatkan beberapa keputusan pengadil jelas tidak berpihak kepada pasukannya.

“Kami gagal bermula dengan baik pada babak pertama, namun pemain-pemain menunjukkan kebangkitan pada 45 minit kedua di mana kami berjaya mengimbangi perlawanan.

“Walaupun ketinggalan, pasukan ini tidak menunjukkan mereka berputus asa. Banyak keputusan pengadil yang berpihak kepada tuan rumah.

“Saya boleh menerima kekalahan ini tetapi dengan jelas bola terkena tangan pemain Terengganu di dalam kotak penalti dan PDRM seharusnya dihadiahkan sepakan penalti.

“Inilah bola sepak, kami hanya perlu meneruskan usaha untuk mengembalikan keyakinan pasukan ini dalam perlawanan seterusnya,” ujarnya.
 

Advertisement

Must Watch Video