Skip to main content

Bola Sepak

Icardi gembira untuk kekal di PSG

mauroicardi-cropped_11utoahs9g8ip1w1m3nvw7ub9b.jpg
Mauro Icardi bersedia untuk melanjutkan tempohnya di Paris Saint-Germain (PSG).

Awal pagi semalam, penyerang pinjaman daripada Inter Milan itu meledakkan hatrik ketika skuad kendalian Thomas Tuchel itu membelasah Saint-Etienne 6-1 dalam aksi Piala Liga Perancis, sekali gus menghasilkan gol ke-17 dalam 19 penampilan bersama PSG dalam semua kejohanan.

Ejen dan isterinya, Wanda Nara, menimbulkan persoalan mengenai masa depan pemain itu selepas mendakwa tiada apa yang pasti sama ada juara Ligue 1 itu akan menggunakan pilihan perpindahan secara tetap yang dilaporkan sekitar EUR70 juta (RM318 juta) di penghujung musim ini.

"Kami masih belum berbincang dengan kelab tentangnya tetapi sudah pasti saya dalam keadaan baik di sini," kata penggempur itu selepas melakukan jaringan hatrik.

"Masih ada empat atau lima bulan sebelum saingan berakhir, kemudian menuju Mei di mana semua berakhir dan kami akan berbincang.

"Namun, jika perlu kekal, saya gembira."

Kehadiran Icardi di Paris menyebabkan penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu, Edinson Cavani, diketepikan daripada barisan depan selepas tampil cemerlang selaku penyerang tengah dan mencipta gandingan mantap bersama Kylian Mbappe, Neymar dan Angel Di Maria.

Malah, Cavani dilaporkan menjadi sasaran Manchester United, Arsenal dan Atletico Madrid bulan ini.

"Untuk mengisi tempat Cavani selepas beberapa tahun memberikan aksi terbaik dalam sejarah PSG, ia satu tanggungjawab," tambah Icardi.

"Saya sedar tentangnya. Apabila beraksi, saya berikan yang terbaik, sama seperti apa yang dia lakukan. Apa yang penting adalah pasukan."



Editor: Nafis Abdullah

Advertisement

Must Watch Video