Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, menjelaskan bahawa sekiranya dia menurunkan kesebelasan utama berdepan Plymouth Argyle dalam aksi Piala FA, keputusannya mungkin kekal sama apabila pertembungan kedua-dua pasukan itu berkesudahan 0-0.
The Reds membuat 10 pertukaran berdepan pasukan yang bertandang dari Liga Dua itu pada Ahad, dengan Emre Can merupakan satu-satunya pemain utama yang beraksi.
Ini bermakna Liverpool menurunkan skuad termuda dalam sejarah kelab itu dengan purata pemain berusia 21 tahun dan 296 hari -- memadam rekod ketika berdepan Wolves pada tahun 1965.
Klopp, bagaimanapun, membawa masuk Roberto Firmino, Adam Lallana dan Daniel Sturridge dalam separuh masa kedua, namun trio berpengalaman itu tidak mampu memecah kebuntuan.
"Jika saya menurunkan kesebelasan utama sekalipun, ada kemungkinan keputusan sama akan diperoleh," Klopp memberitahu BBC Sport.
"Ada kemungkinan itu yang akan berlaku, bagaimanapun, ia pengalaman berharga buat pemain muda Liverpool.
"Bukan mudah untuk memastikan penyokong terhibur dengan perlawanan sebegini, apatah lagi dengan pemain muda.
"Tetapi saya tahu kami akan tampil lebih baik dalam perlawanan ulangan untuk mara ke peringkat seterusnya."
Klopp turut berpendapat ketidaksabaran pemain menjadi punca pasukannya gagal mengesahkan tempat ke pusingan keempat lebih awal.
"Ia bukan keputusan yang diharapkan tetapi ia tidak mengecewakan -- inilah bola sepak. Plymouth layak mendapat perlawanan ulangan.
"Kami bermula dengan baik, namun pemain terlalu gopoh dalam memburu gol.
"Pasukan ini mampu bermain dengan lebih baik, selepas ini kami akan bertandang ke Plymouth buat pertama kalinya dalam hidup saya.
"Saya tidak tahu berapa ramai penduduk di Plymouth tetapi saya berasakan seperti seluruh penduduk Plymouth berada di dalam kotak penalti ketika bertahan."
Bola Sepak