Skip to main content

Bola Sepak

HNS pecat Vukojevic

ognjen-vukojevic.jpg
Persekutuan Bolasepak Croatia (HNS) telah memecat Ognjen Vukojevic selepas bekas pemain kebangsaan itu muncul dalam satu video menerusi media sosial bersama Domagoj Vida apabila didakwa membuat kenyataan yang bersifat pro-Ukraine.

Vukojevic dan Vida melaungkan "Glory to Ukraine", kata-kata yang dipinjam oleh nasionalis anti-Russia, selepas Croatia menewaskan tuan rumah Piala Dunia itu menerusi penentuan sepakan penalti dan mara ke separuh akhir berdepan England.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memilih untuk tidak menggantung Vida, sebaliknya memberi amaran kepada pertahanan itu di atas tindakannya -- Vida menegaskan video itu tidak dimaksudkan sebagai satu kenyataan politik.

HNS, bagaimanapun, mengumumkan semalam bahawa Vukojevic telah dipecat daripada jawatannya sebagai rakan sekerja kakitangan kejurulatihan Croatia, dengan akreditasi Piala Dunianya juga dibatalkan.

"HNS memohon maaf kepada seluruh rakyat Russia di atas tindakan salah seorang delegasi Croatia.

"Ognjen Vukojevic dan Domagoj Vida memohon maaf di atas kenyataan tersebut, yang tidak bertujuan untuk mempunyai konotasi politik."

Vukojevic mengeluarkan kenyataan menerima pemecatannya tetapi dia menafikan berniat untuk membuat kenyataan bersifat anti-Russia.

"Saya tidak berniat untuk membebankan skuad kebangsaan, terutama sekali selepas mara ke separuh akhir," kata Vukojevic.

"Kenyataan saya tidak menjurus ke arah politik. Tujuan saya hanya memberikan ucapan terima kasih kepada rakan di Ukraine yang memberikan sokongan kepada kami. Terima kasih kepada kelab saya, Dynamo Kiev, kerana membenarkan saya terlibat dalam Piala Dunia."

Croatia akan berdepan England dalam separuh akhir di Moscow, awal pagi Khamis ini.


 

Advertisement

Must Watch Video