Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, mengakui projek pemain naturalisasi yang dikelolakan badan induk itu sebelum ini berakhir gagal.
Hamidin dan FAM memulakan projek naturalisasi FAM dengan menjadikan Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi sebagai pemain negara.
Bagaimanapun, prestasi kedua-dua pemain itu kemudian mendapatkan kritikan hebat penyokong Harimau Malaya dan FAM kemudian memilih untuk menamatkan projek naturalisasi berkenaan.
Dalam satu wawancara rancangan Bola Itu Lifa terbitan Astro Arena, Hamidin berkata: "Ketika saya mula memegang jawatan presiden pada 2018, salah satu manifesto saya adalah untuk memperkenalkan naturalisasi hingga sampai satu masa yang ditetapkan.
"Dipendekkan cerita, yang memiliki kontrak lima tahun berturut-turut ketika itu hanyalah Liridon dan De Paula.
"Itu adalah antara sasaran saya kerana saya rasa jika kita ada mereka, perkembangannya akan menjadi lebih cepat tetapi saya boleh sifatkannya memang betul gagal.
"Saya tahu peminat mempertikaikannya. Saya hanya mencuba kerana dalam peraturan FIFA, ia dibenarkan.
"Sepanyol, Perancis, Qatar, UAE (Emiriah Arab Bersatu), China semuanya pakai naturalisasi.
"Saya hanya mahu menyatakan kepada peminat, dah banyak kali saya nyatakan bahawa bola sepak kita sudah tertinggal jauh sangat dan kita mahu mempercepatkannya.
"Apabila De Paula dan Liridon gagal atas sebab-sebab tertentu, saya tahu kami mendapat kecaman dan saya terima pendapat semua orang.
"Dan di FAM, selepas mesyuarat jawatankuasa, kami membuat keputusan untuk menutup (projek naturalisasi) tetapi di peringkat kelab, saya tidak boleh tahan (proses naturalisasi) kerana pihak kelab ada hak (untuk menaturalisasikan pemain) -- selepas lima tahun dia (pemain) memohon pasport dan sudah boleh bermain (sebagai pemain tempatan).
"Bagi FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) mudah sahaja, lima tahun mereka ada kontrak dan menetap di sesuatu negara, dan tidak pernah mewakili mana-mana negara, mereka boleh bermain sekiranya mereka mendapatkan pasport," katanya.
Muzaffar Musa
Sat Jan 06 2024