Skip to main content

Bola Sepak

Guardiola: City belum sedia jadi juara walaupun benam Schalke

pep-guardiola.jpg
SCHALKE 2 MANCHESTER CITY 3
 
Pep Guardiola memberi amaran kepada pasukannya, Manchester City, bahawa mereka tidak akan memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah andai terus membenarkan lawan menjaringkan gol ketika mereka perlu bangkit sebelum menewaskan Schalke 3-2 dalam perlawanan pertama pusingan 16 di Arena Veltins, awal pagi tadi.


City meraih kelebihan dalam aksi pertama di Jerman itu walaupun mereka hanya dapat mengikat kedudukan selepas pemain gantian, Leroy Sane, menjaringkan gol pada minit ke-85 dan diikuti gol kemenangan Raheem Sterling pada minit ke-90.

Schalke, yang ketinggalan menerusi jaringan awal Sergio Aguero, bangkit menjadikan kedudukan 2-1 menerusi dua jaringan penalti daripada Nabil Bentaleb selepas bola terkena tangan Nicolas Otamendi dan kekasaran yang dilakukan Fernandinho.

Otamendi kemudian dilayangkan kad kuning kedua selepas waktu rehat akibat terjahan lewat ke atas Guido Burgstaller dan Guardiola mengakui City bernasib baik kerana memperoleh kelebihan dalam perlawanan pertama itu.

"Keputusan hari ini amat baik. Tiga gol laman lawan adalah baik," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Kami memberikan Schalke gol pertama mereka, kami memberikan mereka gol kedua dan kami memberikan mereka kad merah.

"Dengan situasi itu, kami masih belum bersedia untuk menjadi juara Liga Juara-Juara, namun ia keputusan yang baik.

"Saya sedar betapa susahnya untuk beraksi di Jerman. Mereka tidak melakukan sebarang percubaan tepat, namun mereka menjaringkan dua gol.

"Selepas kad merah itu, dalam 15 hingga 20 minit terakhir, mereka mungkin dapat melakukan lebih tekanan untuk menjaringkan gol ketiga atau keempat dan kami pasti akan tewas.

"Keputusan ini baik, perhitungan ini masih belum tamat. Saya berharap penyokong kami dapat membantu dalam aksi timbal balik nanti dan harap-harap kami dapat memperbaiki segala kelemahan pada masa akan datang," katanya.

Guardiola mengakui keputusan perlawanan dan respons yang diberikan pasukannya dalam perlawanan itu amat melegakan.

Bagaimanapun, dia terus mengulangi bahawa kekurangan konsentrasi pasukannya akan menjadi penyebab mereka tumbang dalam peringkat seterusnya.

Guardiola menambah: "Cara kami bermain, cara kami bermula, cara kami menamatkan perlawanan, cara kami menghadapi situasi 10 lawan 11, cara kami memberikan reaksi selepas ketinggalan, kami beraksi amat baik dalam babak kedua.

"Saya amat lega, namun ia tidak cukup untuk kejohanan sebesar ini.

"Jika ia berlaku dalam peringkat seterusnya, ia akan menjadi penamat kepada kami."

Advertisement

Must Watch Video