Skip to main content

Bola Sepak

Gasperini tidak faham kenapa VAR tidak digunakan

atalanta.jpg
INTER MILAN 1 ATALANTA 1

Gian Piero Gasperini terkesan dengan keputusan untuk tidak memberikan Atalanta sepakan penalti dalam babak pertama ketika terikat 1-1 dengan Inter Milan di San Siro awal pagi tadi sambil mempersoalkan mengapa insiden itu tidak dirujuk video bantuan pengadil (VAR).


Pemain Inter, Lautaro Martinez, kelihatan menggunakan tangan untuk menjatuhkan Rafael Toloi dalam kawasan penalti ketika pemain Atalanta itu mampu menolak masuk bola lantunan susulan tandukan awalnya yang ditepis penjaga gol, Samir Handanovic.

Pasukan pelawat itu ketinggalan satu gol selepas Martinez membuka jaringan pada awal permainan, namun bangkit menerusi gol Robin Gosens dalam babak kedua.

Luis Muriel berpeluang untuk memberikan Inter kemenangan tetapi sepakan penaltinya pada dua minit terakhir diselamatkan Handanovic.

Selepas pengakhiran dramatik itu, Gasperini masih tidak dapat melupakan insiden dalam babak pertama itu sambil berkata ia keputusan yang amat jelas untuk diberikan sepakan penalti.

"Saya tidak faham mengapa VAR tidak digunakan," katanya kepada DAZN.

"Perlawanan sudah tamat tetapi perkara ini amat buruk untuk dilihat.

"Kesilapan seperti ini tidak sepatutnya dibenarkan dalam era VAR. Ia sukar difahami.

"Saya berasa kasihan terhadap mereka yang berada di dalam ruangan VAR kerana kesilapan seperti ini merugikan teknologi yang amat berharga seperti itu.

"Secara peribadi, saya berasakan ia perlu digunakan dalam situasi yang jelas dan ia sememangnya situasinya yang amat jelas," katanya.

Bagaimanapun, Gaseperini berpuas hati dengan permainan yang dipaparkan pasukannya, yang terikat mata yang sama dengan pasukan di tangga keempat, AS Roma.

"Dalam babak kedua, kami menguasai perlawanan.

"Kesemua tiga pertahanan kami amat bagus dalam memendekkan (jarak) dan membaca permainan, menghalang pemain Inter daripada memiliki ruang.

"Itu adalah kunci dalam perlawanan ini," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa

Advertisement

Must Watch Video