Skip to main content

Bola Sepak

Felda belajar daripada kesilapan lalu

hadin-azman.jpg
Pengajaran pahit dibelasah Kedah cukup untuk membuatkan Nidzam Jamil menukar strategi ketika menentang Perak di Stadium Perak, malam tadi.

Justeru, jurulatih pasukan The Fighters itu menguatkan benteng serta mengamalkan corak terbuka ketika menentang juara Piala Malaysia 2018 itu.

Hasilnya, Felda United mengikat tuan rumah 1-1 untuk menggagalkan anak buah Mehmet Durakovic daripada mengutip mata penuh pertamanya.

"Kami belajar daripada kesilapan kerana mengamalkan permainan terbuka di Alor Setar dan menerima padah dibelasah 4-0.

"Jadi, untuk menentang Perak, saya mengubah corak permainan dengan cara lebih memadatkan bahagian benteng kerana menyedari Perak bukan calang-calang pasukan.

"Mereka adalah juara Piala Malaysia dan sudah tentu perlu dihormati.

"Tidak bermakna mereka seri dengan kami mereka tidak kuat," katanya.

Nidzam nyata berpuas hati dengan keputusan itu dan menyifatkan kunjungan ke Ipoh itu sebagai satu kejayaan dan meningkatkan motivasi pasukan.

Katanya, untuk pulang dengan satu mata dari Ipoh adalah satu pencapaian memberangsangkan dan berharap ia dapat meletakkan pasukan di atas landasan yang betul.

Lebih menggembirakan Nidzam ialah pemain import baru, Masaki Watanabe, yang menampilkan perwatakan mantap yang selama ini tiada dalam pasukan itu.

"Kehadirannya dalam pasukan bertepatan kerana menonjolkan bakat kepimpinan yang dicari selepas kami tidak dapat menurunkan khidmat Thiago Aquino kerana kecederaan," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video