Skip to main content

Bola Sepak

Fajer: Pemain telah berikan segalanya

fajer-ibrahim.jpg
Ketua jurulatih Kelantan, Fajer Ibrahim, bangga pemain mudanya sudah menyerlahkan perwatakan sebenar ketika menumpaskan Kuala Lumpur 4-2 dalam Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Katanya, pemain telah berusaha keras untuk mencari kemenangan yang cukup berharga di gelanggang sendiri dan mahu membuktikan kemampuan mereka bersaing dengan pemain berpengalaman di atas padang.

“Tahniah dan pujian kepada seluruh pemain Kelantan yang memberikan segalanya dalam pertemuan ini. Bukan senang untuk pasukan yang diwakili pemain muda beraksi menentang pemain berpengalaman dalam liga utama.

“Mereka sudah membuktikan kemampuan sebenar.

"Saya selalu ingatkan, jika mereka (pemain) berusaha gigih, tidak kira di atas padang latihan atau perlawanan sebenar, kami pasti akan mendapat tiga mata,” katanya.

Fajer juga menjelaskan keputusannya untuk kembali memikul tangunggjawab memimpin Kelantan adalah disebabkan tertarik dengan komitmen dan kesungguhan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan.

“Saya bekerja di sini untuk Kelantan, demi presiden (Bibi Ramjani) yang banyak menyokong perkembangan pasukan. Dia seorang presiden yang bagus.

“Saya bukan bekerja untuk duit di Kelantan. Apa yang saya mahu ialah memastikan The Red Warriors (TRW) kembali mencipta nama dan memenangi setiap perlawanan," katanya.

Fajer juga berpendapat kemenangan ke atas skuad warga kota itu cukup penting kepada Kelantan dalam usaha menambahkan keyakinan pemain dan menarik semula penonton setia ke stadium.

“Kepada penyokong, teruslah menyokong pasukan masa depan ini yang dibarisi pemain muda yang hebat,” katanya. 

Dalam aksi malam tadi, Kelantan mengejutkan Kuala Lumpur melalui dua jaringan pantas yang dihasilkan penyerang muda, Nik Azli Nik Alias (m-10) dan Syafiq Shaharuddin (m-15) dan dalam babak kedua, Shafiq sekali lagi membolosi gawang Kuala Lumpur pada minit ke-68 sebelum pemain tengah kreatif, Nik Akif Syahiran Nik Mat, menjaringkan gol keempat TRW pada minit ke-88.

Gol pasukan pelawat pula dijaringkan ketua pasukan, Indra Putra Mahyuddin (m-79) dan Zhafri Yahya (m-90).

Untuk rekod, kemenangan ke atas Kuala Lumpur membolehkan TRW memungut lapan mata hasil daripada dua kemenangan dan dua kali seri, namun masih berada di tangga kedua tercorot Liga Super.

 

Advertisement

Must Watch Video