Skip to main content

Bola Sepak

Fabregas masih membara sarung jersi Sepanyol

fabregas.jpg
Cesc Fabregas ingin dan bersedia mewakili Sepanyol di bawah kendalian jurulatih baru, namun mengakui generasi baru skuad berkenaan harus dibentuk sebagai skuad yang dahagakan kejayaan. 

Pemain berusia 31 tahun itu tidak dipanggil membarisi skuad kebangsaan sejak kekalahan 0-2 kepada Itali dalam pusingan 16, Euro 2016 setelah diketepikan bekas ketua jurulatih kebangsaan, Julen Lopetegui.

Pemecatan Lopetegui menjelang sepak mula Piala Dunia 2018 sudah terlewat buat Fabregas untuk melibatkan diri dalam kejohanan itu yang menyaksikan La Roja disingkirkan tuan rumah, Russia, dalam pusingan kedua di bawah jurulatih sementara, Fernando Hierro.

Fabregas, yang memenangi Kejohanan Euro 2008 dan Piala Dunia 2010 dengan Sepanyol, menghantar mesej kepada sesiapa yang bakal mengambil alih jawatan daripada Hierro itu dengan menyatakan kesediaannya untuk mewakili negaranya.

"Tiada rezeki untuk Sepanyol dalam Piala Dunia kali ini dan banyak perkara yang akan diputuskan oleh pengurus baru selain hala tuju pemain," tulis Fabregas kepada The Telegraph.

"Andres Iniesta telah bersara manakala Gerard Pique turut menyatakan dia juga mungkin telah selesai dengan pasukan kebangsaan. Saya belum bersara dan saya pasti jurulatih baru akan mempertimbangkan saya tetapi saya perlu bekerja keras untuk merealisasikannya.

"Saya tidak pernah mengatakan bahawa saya sudah bersara di peringkat antarabangsa dan saya pasti akan bermain dalam Piala Dunia ini (sekiranya terpilih). Fizikal saya masih berada dalam keadaan bagus dan saya memiliki motivasi.

"Saya sangat gemar mewakili skuad kebangsaan, malah beberapa detik terbaik kerjaya saya adalah ketika bersama Sepanyol."

Fabregas menikmati kerjaya gemilang dengan memenangi gelaran liga bersama Chelsea dan Barcelona selain kejayaan di peringkat antarabangsa, begitupun dia tetap bersemangat seperti biasa.

"Pengalaman mengajar saya agar menghargai apa yang dicapai," katanya. "Chelsea memenangi Piala FA musim ini dan saya gembira seperti anak kecil. 

"Orang mungkin memandang saya dan tertanya-tanya mengapa saya bersikap sedemikian memandangkan apa yang saya telah menangi sebelum ini tetapi bagi saya, anda tidak tahu bila anda akan berhenti mencapai kemenangan.

"Ketika berusia 21 tahun, saya memenangi Kejohanan Euro. Saya sangat gembira tetapi saya mempunyai kerjaya hebat di hadapan saya dan saya fikir saya akan menang lebih banyak, namun apabila usia semakin meningkat tua, anda dapat menilai setiap perbuatan anda dengan lebih baik.

"Tidak banyak pemain daripada skuad generasi 2008, 2010 dan 2012 yang masih kekal. Maka, ini akan menjadi generasi baru dan sudah tentunya ada ramai pemain berbakat yang sedang bermain di kelab-kelab besar dan memenangi sesuatu. Kini, mereka perlu berkembang untuk menjadi sebuah pasukan dan berjaya.

"Sama ada dengan atau tanpa saya, kami harus memastikan bahawa kami telah belajar, berkembang maju di bawah pengurus baru dan lihat sama ada kami boleh kembali ke puncak. Tidak mudah tetapi ia boleh dilakukan."

Advertisement

Must Watch Video