LIGA INGGERIS
Everton tidak layan tawaran Barca terhadap Richarlison
Barcelona tidak mungkin akan menandatangani penyerang Everton, Richarlison, yang dikaitkan dengan perpindahan bernilai £85 juta (RM452.3j) dalam usaha memancing pemain antarabangsa Brazil itu.
Menurut Sky Sports, kelab gergasi Sepanyol itu menjadikan Richarlison sebagai sasaran untuk memperkuatkan jentera serangan mereka susulan kecederaan yang melanda Luis Suarez sehingga penghujung musim ini.
Penyiar Britain itu mendedahkan Everton telah menolak beberapa tawaran daripada Barcelona selepas pengarah sukan kelab Sepanyol itu, Eric Abidal, dikatakan amat meminati bekas pemain Watford berkenaan.
Iklan
Bagaimanapun, Omnisport difahamkan rundingan itu tidak mungkin berlaku.
Richarlison baru sahaja memeterai kontrak baru selama lima tahun bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bulan lalu selepas pemain berusia 22 tahun tersebut dijangka akan memainkan peranan penting buat kelab Merseyside berkenaan pada masa depan.
Sejurus Carlo Ancelotti dilantik sebagai pengurus sebelum perayaan Krismas lalu, mereka meletakkan harapan tinggi kepadanya untuk melonjakkan mereka ke saingan Eropah selain mahu memastikan Richarlison menjadi kunci kepada perancangan mereka itu.
Richarlison telah meledak lapan gol dan menyumbang tiga bantuan jaringan dalam 22 perlawanan EPL musim ini selepas merakamkan 13 gol dan mencipta enam gerakan jaringan dalam kempen sulungnya bersama The Toffees pada 2018-19.
Editor: Shaiful Shamsudin
Must-Watch Video



