Skip to main content

Bola Sepak

Euro 2020: Masih terlalu awal bercakap tentang potensi Greenwood -- Solskjaer

greenwood.jpg
Ole Gunnar Solskjaer meredakan keterujaan terhadap pemain Manchester United, Mason Greenwood, sambil menganggap masih terlalu awal untuk memikirkan potensinya mewakili England dalam Euro 2020.

Produk akademi United itu sedang menikmati musim sulungnya apabila diberi kesempatan beraksi dalam 17 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) -- dua daripadanya dari bangku simpanan. 

Pemain berusia 18 tahun berkenaan telah menghasilkan empat gol liga selain lima lagi dalam Piala Liga Inggeris (EFL) dan Liga Europa yang menyaksikan hanya empat pemain yang mencetak gol lebih banyak daripadanya. 

Tatkala kelibat Harry Kane dalam keraguan untuk kempen Euro 2020 ekoran masalah hamstring yang memerlukan pembedahan manakala Jamie Vardy pula sudah mengumumkan persaraannya di  peringkat antarabangsa, Greenwood muncul sebagai pilihan buat pengurus England, Gareth Southgate.

Greenwood telah membuat empat penampilan bersama pasukan B-21 England tahun lalu dan buat masa ini, Solskjaer fikir anak buahnya itu sepatutnya perlu diberi ruang untuk menumpukan tugasannya bersama United dan Young Lions.

"Saya berasakan Mason akan mempunyai kerjaya yang hebat dan panjang," kata Solskjaer menjelang aksi ulangan pusingan ketiga Piala FA dengan Wolves awal pagi esok. 

"Biarkan dia menyesuaikan diri di sini terlebih dahulu sebelum kita bercakap mengenai England dan Euro.

"Fokusnya hanya perlu bermain lebih baik untuk kami selain meningkatkan prestasinya dan apabila dia bermain lebih banyak untuk kami, itu (mendapat panggilan England) akan berlaku dengan sendirinya.

"Dia hanya terpilih untuk mewakili skuad B-21 England, jadi dia perlu memberi tumpuan kepada permainannya."

Greenwood merupakan salah seorang daripada tiga penyerang di United musim ini tatkala Marcus Rashford dan Anthony Martial juga sedang menikmati prestasi hebat. 

Rashford sudah mencetak 19 gol daripada 30 perlawanan manakala Martial mempunyai 11 gol dalam 22 aksi, namun Solskjaer tidak menganggap dia layak diberi pujian atas prestasi anak buahnya itu. 

"Saya tidak mahu dipuji kerana telah menyerlahkan keupayaan mereka," katanya. "Mereka bekerja keras untuk memperbaiki mutu permainan sendiri, saya fikir mereka telah berjaya.

"Mason dalam musim pertamanya, jadi untuk mempunyai sembilan gol adalah perkara yang luar biasa. Marcus sedang berkembang dan bertambah baik sepanjang masa sementara Anthony pula terlepas aksi selama enam hingga lapan minggu.

"Saya kagum dengan mereka. Mereka benar-benar gigih berusaha, memperbaiki sentuhan penyudah, kami mahukan ketekalan dan saya fikir kami akan melihat lebih banyak lagi (aksi mengagumkan) kerana mereka masih sangat muda."



Editor: Shaiful Shamsudin 
 

Advertisement

Must Watch Video