Skip to main content

Bola Sepak

Dia harus tumpukan kepada permainan bola sepak -- Layun persoal kelakuan Neymar

neymar.jpg
Neymar akan menjadi pemain yang lebih baik "jika dia mendedikasikan dirinya lebih banyak untuk permainan bola sepak", kata pemain Mexico, Miguel Layun.

Brazil layak ke suku akhir Piala Dunia 2018 untuk menentang Belgium dengan kemenangan 2-0 ke atas Mexico di Samara tengah malam tadi -- El Tri tersingkir dalam pusingan 16 buat kali ketujuh berturut-turut.

Neymar membuktikan kemampuannya sebagai sandaran utama dengan meledak gol pertama dan mencipta gerakan untuk jaringan kedua menerusi Roberto Firmino, namun kehebatannya itu langsung tidak mempesonakan Layun, yang tampak sengaja memijak pergelangan kaki lawannya itu. 

Penggempur Paris-Saint Germain (PSG) itu memberi reaksi dramatik, berguling-guling sebelum menerima rawatan dan menyambung permainan. 

Jurulatih Mexico, Juan Carlos Osorio, bersikap kritikal terhadap Neymar dalam sidang media pasca perlawanan dan Layun percaya ia adalah memalukan apabila pemain berbakat itu membenarkan aspek yang kurang baik sebagai eleman dalam permainannya.

"Kami kenal Neymar dan dia suka menjadi protagonis di dalam dan di luar padang," ujarnya. 

"Sesiapa sahaja yang menonton perlawanan ini tahu apa yang saya maksudkan. Dia seperti itulah, keperibadiannya seperti itu. Biar sahajalah dia dan semoga berjaya. 

"Saya fikir dia seorang pemain berbakat besar dan pada suatu hari nanti diharapkan dapat menumpukan kepada aspek permainan sahaja. 

"Sebenarnya, dia akan menjadi lebih hebat jika dia lebih mendedikasikan dirinya untuk bermain bola sepak daripada melakukan perkara-perkara lain. Saya fikir itulah yang terpenting.

"Mungkin dia berasa agak bimbang dan itulah cara dia menyingkirkan tekanan yang ada," tambahnya.

Biarpun gagal menamatkan badi pusingan kedua, Layun tetap berbangga dengan kempen Mexico di Russia.

"Impian pasukan secara keseluruhannya sudah berakhir dan saya berasakannya, begitu juga dengan negara kami," katanya. "Kami tidak boleh menikmati Piala Dunia lagi.

"Apapun, saya masih bangga, saya gembira dengan tugas yang telah kami lakukan hasil sokongan rakyat yang tidak pernah jemu dan turut berada di mana-mana stadium yang membabitkan aksi kami.

"Mereka telah melihat komitmen yang kami bererikan untuk cuba mencapai matlamat," ujarnya.
 

Advertisement

Must Watch Video