Skip to main content

Bola Sepak

Bibi Ramjani: KAFA tidak bunuh karier Piya, Taj

piya.jpg
Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Selepas skuad Kelantan hampir pasti beraksi dalam Liga Perdana musim depan, konflik di antara Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan bekas pemainnya semakin parah.

Selepas dikritik hebat dua pemain senior, Mohd Badhri Radzi atau Piya, dan pertahanan, Amiridzwan Taj Tajuddin, yang mendakwa KAFA 'membunuh' karier bola sepak mereka apabila menyingkirkan kedua-duanya daripada perancangan skuad The Red Warriors (TRW),  kini persatuan itu tampil membela diri.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khas, menegaskan badan induk itu tidak pernah 'membunuh' karier dua pemain legenda TRW itu, sebaliknya berpunca daripada sikap pemain tersebut yang enggan bertolak-ansur dalam isu berkenaan.

KAFA juga telah memohon jasa baik kedua-dua tonggak itu supaya mencari pasukan baru semasa jendela perpindahan pemain, Mei lalu.

"Namun, Piya mengatakan dia sanggup makan gaji buta daripada berhijrah ke pasukan lain sehingga kontraknya tamat. Jadi, siapa bunuh siapa dalam isu ini?

"Begitu juga dengan Taj (Amiridzwan) yang menuntut gaji sampai bulan September untuk penamatan kontrak.

"Rumah tangga pun ada hak untuk berpisah (cerai) tetapi bukan sampai mati. Jadi, kalau untuk kebaikan pasukan, saya rasa perlu ada tolak ansur. Apa yang saya lakukan ini bukan atas kepentingan peribadi tetapi untuk masa depan pasukan," katanya.

Selain itu, Bibi Ramjani juga menambah bahawa KAFA telah mengeluarkan surat amaran kepada Piya dan Taj supaya meningkatkan prestasi dalam perlawanan, termasuk sesi latihan.

"Apa yang kita lakukan ini demi kebaikkan pasukan. Pemain yang menerima surat amaran perlu meningkatkan prestasi dalam pasukan.

"Siapa nak keluarkan duit untuk matikan pasukan serta karier pemain. Lagipun, kita percaya kedua-dua pemain ini masih masih boleh beraksi dengan mana-mana pasukan dalam Liga Super atau Liga Perdana," katanya.

KAFA juga telah memaklumkan kepada kedua-dua pemain tersebut bahawa badan induk itu sudah tidak mampu untuk membayar gaji mereka pada masa akan datang ekoran kekangan kewangan persatuan.

Advertisement

Must Watch Video