Skip to main content

Bola Sepak

Bakal berpindah ke Bayern, Nubel dilucutkan peranan ketua pasukan

nubel.jpg
David Wagner mengesahkan Alexander Nubel dilucutkan sebagai ketua pasukan Schalke selepas penjaga gol itu bersetuju untuk menyertai Bayern Munich.

Nubel -- yang dianggap sebagai pengganti jangka panjang kepada Manuel Neuer -- akan berpindah ke juara Bundesliga itu secara percuma pada akhir musim ini.

Pemain berusia 23 tahun tersebut telah memeterai kontrak selama lima tahun bersama Bayern yang bermula 1 Julai depan setelah memaklumkan kepada Schalke bulan lalu bahawa dia tidak akan memperbaharui kontraknya berikutan menjadi buruan daripada banyak pihak, termasuk Tottenham.

Pengurus Schalke itu kini mengesahkan Nubel --  yang akan menjalani penggantungan apabila Bundesliga menyambung saingan rehat musim sejuk ekoran kad merah yang dikutipnya kerana kekasaran ke atas tonggak Eintracht Frankfurt, Mijat Gacinovic, bulan lalu -- akan menyerahkan lilitan ketua pasukan kepada pemain tengah, Omar Mascarell.

"Kami telah mencapai persetujuan bahawa Alex akan dilepaskan daripada peranannya sebagai kapten," kata Wagner dalam petikan di Twitter rasmi Schalke.

"Kami telah mempertimbangkan segala kebaikan dan keburukannya lalu memutuskan bahawa adalah lebih baik buat pasukan kalau dia melepaskan peranannya itu. Dengan cara ini, kami boleh mengelakkan pergolakan yang berterusan.

"Pada bulan-bulan yang akan datang, ada perkara yang lebih mustahak untuk difikirkan berbanding soal ini. Dia bukanlah satu-satunya pemain yang menjadi perhatian ramai, Alex tetap merupakan anggota pasukan yang penting, kami perlu terus menyokong setiap pemain."

Wagner juga mengesahkan kelab itu tidak merancang untuk membawa penjaga gol baru bagi menggantikan Nubel dengan Ralf Fahrmann -- yang sedang dipinjamkan ke Norwich City -- dan pemain B-21 Jerman, Markus Schubert, dianggap sebagai pilihan yang sesuai pada musim depan.

"Dengan adanya Schubi dan Ralf Fahrmann, kami mempunyai dua penjaga gol yang hebat untuk musim depan, kami tidak perlu risau tentang posisi ini," kata Wagner.

Ketua Bahagian Sukan Schalke, Jochen Schneider, menambah: "Kami telah mencuba segala-galanya untuk meyakinkan Alex supaya kekal, malangnya tidak berhasil."

Nubel, yang membuat 18 penampilan Bundesliga musim ini, dilantik sebagai kapten Schalke sejak Ogos lalu untuk menggantikan tempat Fahrmann.



Editor: Shaiful Shamsudin

 

Advertisement

Must Watch Video