Skip to main content

Bola Sepak

Bahaya 'cinggey'

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

cinggey.jpg
Sebut sahaja filem Rock Oo!, mesti ramai yang akan ingat dialog hebat dalam satu adegan membabitkan Jijo Alfonso Pereira Abdullah lakonan Khir Rahman sedang berbual dengan Wan Sulaiman atau Slash, watak yang didukung oleh Pekin Ibrahim.

“Sekarang ni ada tiga perkara yang boleh menjatuhkan sesebuah negara. Satu, rasuah. Kedua, tidak menepati masa. Ketiga, cinggey.”

Cinggey ialah bahasa pasar yang merujuk kepada wanita – istilah yang selalu digunakan peminat bola sepak di Malaysia untuk mengingatkan pemain kesayangan agar tidak terbuai dengan kisah percintaan sehingga prestasi di atas padang menurun.

Tetapi kalau kita sebut tentang cinggey di pentas antarabangsa, ia lebih kontroversi.

Karier Bintang Manchester United, David Beckham, yang berkunjung ke Malaysia pada Khamis lalu, pernah dikhuatiri malap akibat cinggey apabila menjalinkan hubungan dengan penyanyi, Victoria atau Posh dari Kumpulan Spice Girls yang kini merupakan isterinya.

Bagaimanapun ujian sebenar yang hampir meragut reputasinya sebagai antara pemain ternama England adalah pendedahan kontroversi pembantu peribadinya, Rebecca Loos, mengenai skandal mereka sewaktu Beckham menyarung jersi Real Madrid.

Sudah pasti perkahwinan Beckham juga bergolak, apatah lagi apabila ia disusuli pengakuan dari beberapa lagi cinggey –- tetapi tidak dinafikan ada antaranya dilihat lebih kepada menangguk di air yang keruh dengan mengharapkan habuan yang lumayan -- termasuk dari pihak media yang berlumba-lumba menjadi sumber utama.

Cinggey juga menjadi sebab Jepun kini meneruskan kempen Piala Asia Qatar tanpa pemain sayap berpengalaman, Junya Ito.

Ketika Jepun dicanang calon terbaik untuk menjulang kejuaraan yang kali terakhir dikecapi pada 2011, kem Samurai Biru digemparkan pula dengan dakwaan Ito melakukan seragan seksual keatas seorang wanita berusia 20 tahun selepas aksi persahabatan Jepun dan Peru tahun lalu.

Ramai yang pelik, kenapa perkara ini hanya dihebohkan sekarang, ketika Jepun perlukan kekuatan tambahan dalam suku akhir menentang Iran, yang memiliki jentera serangan yang cukup berbisa, sedangkan kejadian itu sudah pun berlaku lebih enam bulan lalu di Osaka, Jepun.

Menurut media yang mendedahkan skandal ini pada Khamis lalu, Daily Shincho, wanita tersebut meminta Ito melakukan permohonan maaf pada September 2023 dan melakukan perkara sama pada November 2023, kali ini dengan menggunakan khidmat peguam.

Ito menafikannya sebagai serangan seksual, sebaliknya mendakwa ia adalah atas persetujuan bersama yang membabitkan sejumlah bayaran dan perlu dirahsiakan.

Apa pun cerita di sebaliknya, pujian harus diberikan kepada Persatuan Bolasepak Jepun yang pantas mengawal skandal membabitkan pemainnya ketika tumpuan utama harus diberikan kepada prestasi pasukan dan bukannya isu di luar padang.

Keputusan untuk menghantar Ito pulang ke Perancis juga menerima respon positif ramai pihak kerana dikhuatiri akan menjadi buruan media tempatan, seterusnya menjadi mangsa kecaman sedangkan penyerang kelab Ligue 1, Stade de Reims, itu belum terbukti bersalah.

 

Advertisement

Must Watch Video