Skip to main content

Bola Sepak

Arteta kecewa kesilapan Arsenal ketika tewas kepada City

mikel-arteta_1.jpg
ARSENAL 1 MANCHESTER CITY 3

Mikel Arteta kecewa dengan kesilapan yang dilakukan Arsenal ketika menangani Manchester City dan menganggapnya sebagai satu kesan psikologi ketara dalam pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pasukan juara bertahan bimbingan Pep Guardiola, City, meraih kemenangan 3-1 di Stadium Emirates awal pagi tadi untuk memintas Arsenal, yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan, di puncak liga dengan kelebihan perbezaan jaringan.

Kevin de Bruyne menghukum kesilapan hantaran Takehiro Tomiyasu untuk membuka jaringan sebelum jaringan Jack Grealish dan Erling Haaland dalam babak kedua memastikan jaringan penyamaan Bukayo Saka dalam babak sebelumnya menjadi sia-sia.

Pengurus Arsenal, Arteta, yang pernah berkhidmat sebagai penolong Guardiola sebelum menyertai Arsenal, sedar The Gunners dihukum oleh kesilapan yang dilakukan mereka sepanjang aksi di London itu.

"Kami tewas, ia satu perlawanan yang luar biasa di antara kedua-dua pasukan dan kami dapat menyaingi mereka tetapi kami membenarkan mereka menjaringkan gol," kata Arteta, yang tewas lapan daripada sembilan pertemuan dengan Giardiola dalam kesemua kejohanan, kepada Amazon Prime Video.

"Kami dapat menyaingi mereka pada kebanyakan waktu tetapi pada kebanyakan waktu itu, mereka lebih baik berbanding kami. Kami melakukan hantaran yang tidak tepat, kami meletakkan diri kami dalam bahaya, di sesetengah tempat di atas padang, kami bermain dengan berlebih-lebihan dan kami dihukum.

"Kami memiliki tiga peluang besar tetapi kami membazirkannya dan ia menjadi pemisah. Untuk menewaskan mereka, kami perlu berada di tahap lebih baik kerana mereka pasukan yang amat bagus.

"Suasana dan prestasi kami amat bagus jika anda tidak mengira kami membenarkan mereka menjaringkan tiga gol," katanya.
 
Walaupun tewas, Arteta berkata persembahan pasukannya kini semakin meningkatkan kepercayaannya bahawa Arsenal mampu meraih gelaran EPL pertama sejak menjadi juara tanpa kalah musim 2003-04.

"Saya kini lebih mempercayainya berbanding sebelum perlawanan ini, dengan prestasi dan tahap yang pasukan kami tunjukkan ketika berdepan City," katanya kepada BBC Sport.

"Mereka mahu bermain secara berbeza berbanding sebelum ini dan dengan penyokong yang kami ada, kami boleh melakukannya.

"Mereka masih memiliki kepecayaannya, saya dapat rasakannya. Mereka rasa seperti mereka mampu melakukannya," katanya lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video