Porsche Malaysia secara rasminya bakal mempertaruhkan khidmat pelumba muda negara, Naquib Azlan, dalam Porsche Carrera Cup Asia 2026 bagi kategori pro.
Naquib akan memandu model porsche 911 GT3 Cup bernombor 17 untuk menandakan perubahan drastik dalam kariernya di pentas perlumbaan antarabangsa.
Advertisement
Lebih menarik, kejayaan menjuarai Porsche E-sports Sprint Challenge Malaysia tahun lalu membuka peluang buat transisinya daripada perlumbaan simulasi kepada aksi sebenar di litar.
"Ada perbezaannya, terpulang kepada saya dan pasukan untuk meminimakan.
"Yang paling penting adalah kecergasan kerana apabila kereta makin laju maka tubuh saya akan berdepan tekanan tambahan.
"Jadi saya banyak menghabiskan masa di dalam gimnasium dalam tiga bulan ini demi mendapatkan prestasi terbaik pada musim baru ini," katanya yang akan membuka tirai saingan di Shanghai, hujung minggu ini.
Penyertaan itu turut memperlihatkan komitmen Porsche Malaysia dalam membantu pembangunan bakat pelumba muda negara untuk bersaing di pentas Asia.
Tambah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sime Darby Auto Performance, Christopher Hunter: "Dia mencatat masa yang baik dalam sesi ujian jadi saya berharap ia kekal begitu pada musim akan datang."