Porsche Malaysia secara rasmi mengesahkan penyertaan mereka dalam saingan Porsche Carrera Cup Asia musim 2026 dengan mempertaruhkan khidmat pelumba muda negara, Naquib Azlan, dalam saingan kategori pro.
Naquib akan memandu jentera Porsche 911 GT3 Cup bernombor 17, sekali gus menandakan perubahan besar dalam kariernya di pentas perlumbaan antarabangsa.
Advertisement
Lebih menarik, peluang itu hadir selepas kejayaannya menjuarai Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia tahun lalu, yang membuka laluan untuknya beralih daripada perlumbaan simulasi kepada aksi sebenar di litar.
Naquib mengakui peralihan daripada simulator kepada perlumbaan sebenar memberi cabaran baru buat dirinya.
“Sebagus mana simulator sekali pun, ia tidak akan pernah sama dengan perlumbaan sebenar.
“Terpulang kepada saya dan pasukan untuk meminimumkan perbezaan itu,” katanya.
Menurutnya lagi, aspek kecergasan fizikal menjadi cabaran terbesar buatnya kerana tekanan yang dialami tubuh ketika memandu jentera perlumbaan sebenar jauh lebih tinggi.
“Bahagian paling sukar ialah kecergasan kerana apabila memandu kereta, badan akan mengalami daya tambahan yang kuat.
“Saya sudah menjalani latihan intensif di gimnasium sejak dua hingga tiga bulan lalu bersama pakar nutrisi dan staf lain bagi memastikan prestasi terbaik musim ini,” kata Naquib lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sime Darby Auto Performance, Christopher Hunter, optimis dengan perkembangan awal Naquib.
“Ujian yang dijalankan sangat baik dan catatan masa terpantas di litar merupakan permulaan yang sangat positif untuk Naquib.
“Kami berharap prestasi ini dapat diteruskan sepanjang musim,” katanya.
Penyertaan Naquib ini dilihat jelas mencerminkan komitmen Porsche Malaysia dalam membantu pembangunan bakat pelumba muda negara untuk terus bersaing di pentas antarabangsa.