Terengganu membuktikan mereka berjaya menandatangani pemain-pemain import berkelas dunia apabila empat pemain menerima panggilan untuk menyertai pasukan kebangsaan masing-masing ketika tempoh perlawanan antarabangsa di bawah kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)penghujung Mac ini.
Dua pemain, Ehson Panjshanbe dan Shervoni Mabatshoev, dipanggil skuad Tajikistan manakala Kyaw Min Oo menerima panggilan daripada Myanmar dan penyerang, Gervane Kastaneer yang akan menyertai skuad kebangsaan Curacao dalam rangka perlawanan persahabatan di Australia.
Advertisement
Sementara itu, ada beberapa pemain tempatan akan dipanggil untuk mewakili skuad Harimau Malaya dengan senarai akhir pemain dijangka akan dimuktamadkan pada minggu hadapan.
Pihak kelab menzahirkan rasa bangga apabila semakin ramai pemain skuad Peteh diberi kepercayaan untuk menyarung jersi negara masing-masing, sekali gus mengharumkan nama Terengganu di peringkat antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai, turut berbangga dengan kesemua pemain import yang baru ditandatangani ini dan berharap mereka mampu membawa pengalaman antarabangsa mereka ke peringkat liga.
"Kami berbangga kerana pemain-pemain kami diiktiraf oleh pasukan kebangsaan mereka dengan Curacao dalam fasa persediaan ke Piala Dunia.
"Kita juga masih menunggu senarai akhir yang akan dikeluarkan pasukan Malaysia tidak lama lagi dan berharap untuk melihat lebih ramai pemain tempatan mewakili negara kita dan berharap ianya akan menjadi motivasi kepada pemain TFC yang lain pada masa hadapan," jelasnya.