Skip to main content

Bola Sepak

Arteta hasrat terus tagih khidmat Aubameyang

aubameyang.jpg
Mikel Arteta berkata dia tidak memikirkan mengenai prospek Pierre-Emerick Aubameyang akan meninggalkan Arsenal dalam jendela perpindahan bulan ini. 

Penyerang Gabon itu, yang dikaitkan dengan Barcelona, Real Madrid dan Inter, telah menyumbang 13 gol dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini meskipun The Gunners memaparkan prestasi buruk sehingga mendorong kepada pemecatan Unai Emery.

Menjawab spekulasi mengenai masa depannya, penyerang Arsenal berkenaan pada minggu ini memberitahu RMC: "Buat masa ini, saya masih di sini, saya 100 peratus di sini."

Aubameyang, yang dilantik sebagai ketua pasukan Arsenal selepas Granit Xhaka dilucutkan lilitan berkenaan oleh Emery dan Arteta, bertekad untuk kekal dan mengakhiri kontraknya yang akan tamat pada 2021.

Ditanya apakah penggempur berusia 30 tahun itu boleh angkat kaki bulan ini, pengurus itu memberitahu pemberita  semalam: "Saya tidak memikirkan tentang kemungkinan itu, saya mahukan dia di sini."

Arteta juga mengulangi hasratnya untuk mengekalkan Xhaka tatkala pasukan Bundesliga, Hertha Berlin, sedia menyambar khidmat pemain antarabangsa Switzerland berkenaan. 

"Saya sempat berbincang dengannya dan saya mahu menyelami perasaannya disebabkan dia berasakan tidak berada di tempat yang tepat dalam kerjayanya," kata Arteta menjelang perlawanan pusingan ketiga Piala FA dengan wakil Liga Kejuaraan, Leeds United, Selasa depan.

"Saya beritahu bahawa saya sudah bersedia untuk menyokongnya, saya mahu rakan sepasukannya untuk berdiri teguh di belakangnya bagi membantunya mengubah fikiran kerana kami memerlukan dia. Saya menyaksikannya berlatih setiap hari dan kualiti yang dimilikinya. Dia boleh menjadi pemain yang sangat berkualiti buat kelab ini. 

"Daripada perspektif saya, saya tidak mahu dia pergi. Saya harap dia akan kekal. Saya akan katakan kepada kelab agar tidak (untuk menjualnya), begitu juga kepadanya. Tetapi dalam kehidupan ini, saya tidak dapat mengawal apa yang berlaku."

Arteta juga menyatakan Eddie Nketiah akan dipinjam lagi dalam separuh kedua kempen ini selepas khidmatnya di Leeds disingkatkan.
 
“Sekali lagi, saya perlu bercakap dengannya," tambah pengurus berbangsa Sepanyol itu. 

"Saya fikir idea pertama adalah untuk menghantarnya keluar untuk dipinjamkan musim ini.

"Kami perlu menilai keadaan ketika ini. Pada masa ini, (saya tidak tahu) tetapi saya akan mendapat jawapannya tidak lama lagi."




Editor: Shaiful Shamsudin 

Advertisement

Must Watch Video