Skip to main content

Bola Sepak

Arteta: Aubameyang kekal kapten di sebalik spekulasi perpindahan

aubameyang.jpg
Mikel Arteta bercadang memastikan Pierre-Emerick Aubameyang kekal sebagai kapten Arsenal sungguhpun penyerang itu dikaitkan dengan perpindahan. 

Aubameyang diserahkan lilitan kapten itu selepas Granit Xhaka dilucutkan peranan berkenaan oleh pengurus terdahulu, Unai Emery.

Bagaimanapun, dengan kontraknya akan tamat pada 2021 dan rundingan lanjutan kontraknya dilaporkan menemui jalan buntu, pemain antarabangsa Gabon itu dilaporkan menjadi sasaran Real Madrid, Barcelona dan Inter.

Aubameyang pernah memberitahu RMC bahawa dia "100 peratus" akan kekal di kelab yang berpangkalan di London itu di sebalik pelbagai spekulasi sementara Arteta secara tekal mengatakan bahawa dia menjangkakan akan mengekalkan pemain berumur 30 tahun berkenaan.

"Pada masa ini, saya fikir semuanya baik-baik saja," katanya kepada pemberita mengenai situasi kapten Arsenal itu menjelang perlawanan Piala FA menentang Leeds United awal pagi esok. 

"Bukan masanya untuk saya mengubah keadaan ketika ini kerana saya belum melihat perkara sebenar untuk memuktamadkan keputusan itu.

"Tetapi kestabilan yang kami hasilkan menerusi kapten -- dan pemain dalam skuad ini -- akan mencerminkan mesej yang kami mahu berikan kepada peminat mengenai apa yang kami sedang cuba lakukan."

Xhaka mengetuai kumpulan kapten berkenaan yang turut dibarisi Aubameyang dan Mesut Ozil, lantaran itu pengurus tersebut menawarkan pandangan mengenai apa yang diharapkannya daripada pemain-pemain berpengaruh berkenaan. 

"Saya berada di kelab di mana kami mempunyai empat atau lima orang ketua pasukan, ia lebih menjurus kepada kumpulan pemimpin berbanding kapten," tambah bekas ketua pasukan The Gunners itu. 

"Pada akhirnya, akan ada seorang pemain yang akan memakai lilitan kapten. Selepas itu, pasukan akan memilih seorang pemimpin. Apabila seseorang itu bercakap, mereka perlu mendengarnya atau mereka bersikap tidak acuh. 

"Kepimpinan adalah berkaitan sebuah pasukan yang meluangkan masa bersama-sama. Mereka tidak boleh berpuak-puak -- itulah yang saya harapkan. 

“Kami mempunyai beberapa tokoh pemimpin di atas padang, lebih-lebih lagi di luar padang. Kami perlu menyatukan mereka. 

"Kakitangan pasukan juga penting. Pemain tidak akan berseorangan ketika di padang latihan. Mereka kerap berhubung dengan bermacam-macam kakitangan. Kepimpinan harus datang menerusi hubungan dengan banyak pihak.”

Arsenal menumpaskan Manchester United 2-0 di tempat sendiri dalam perlawanan terakhir mereka untuk meraih kemenangan pertama di bawah asuhan Arteta.



Editor: Shaiful Shamsudin 

Advertisement

Must Watch Video